Politik

Pilih calon Batang Kali, Bersatu Hulu Selangor dipinggir

BERSATU Hulu Selangor kecewa dengan pucuk pimpinan parti kerana meminggirkan peranannya dalam memutuskan calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Batang Kali pada PRN bulan depan.

Ketuanya, Md Anuar Mohd Nor mendakwa, pemilihan calon PN dibuat dua pemimpin Bersatu yang langsung tidak membincangkan perkara itu dengan Bahagian sehingga menimbulkan kemarahan ramai ahli akar umbi.

Menurut Anuar, rasa tidak puas hati itu menyebabkan ada ahli mengugut mahu menutup jentera dan meluahkan kemarahan di media sosial dengan memuat naik gambar mereka membakar dan memijak bendera PN.

“Kita kecewa kenapa Bahagian tidak dibawa berbincang khususnya saya sebagai ketua. Saya pun bukannya ghairah nak jadi calon kerana paling penting, kekalkan kemenangan di Batang Kali.

“Tiba-tiba orang yang dipilih itu datang beritahu kami yang beliau telah diangkat menjadi calon.

“Kami hairan mengapa keputusan sebesar ini tidak ambil pandangan Bahagian,” luah beliau dalam nada penuh kekecewaan.

Mengulas kemarahan ahli yang memuat naik gambar mereka memijak bendera PN di media sosial, Anuar berkata “saya sebagai ketua tidak boleh mengawal mereka terutama anak muda. Mereka rasa Bahagian tidak dihormati”.

Pada PRU14 lalu, DUN Batang Kali dimenangi wakil Bersatu, Harumaini Omar namun beliau keluar parti susulan Langkah Sheraton dan menyertai Pejuang.

Ketua UMNO Hulu Selangor, Isa Kasim diumumkan sebagai calon mewakili gabungan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) di DUN Batang Kali pada PRN bulan depan.

Difahamkan Ahli Jawatankuasa Bersatu Hulu Selangor, Muhammad Muhaimin Harith dipilih membawa cabaran PN di DUN Batang Kali.

Pengumuman rasmi dijangka dibuat esok malam serentak dengan senarai 56 calon PN di Selangor.

Dalam perkembangan sama, Anuar mengesahkan Bersatu Hulu Selangor pada 21 Julai lalu menamatkan pelantikan Muhaimim sebagai AJK Bahagian itu namun tidak memberikan sebarang alasan.

“Beliau hanya AJK lantikan bukan menang bertanding. Tiada masalah jika kita hendak tamatkan pelantikannya,” katanya. – SM

BACA KJ bakal jadi pemimpin kanan Bersatu?

BACA Siapa “poster boy” Bersatu PRN Selangor?

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button