fbpx
Ekonomi

Era Covid TNB umum dividen tertinggi dalam sejarah

ERA negara dilanda wabak Covid-19 yang menyaksikan rakyat dihimpit tekanan ekonomi termasuk bil utiliti yang tinggi menyaksikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) seperti berada di kemuncak kejayaan apabila mengumumkan pengagihan dividen tertinggi dalam sejarahnya.

Ketika rungutuan orang ramai mengenai bil elektrik yang tingginya luar biasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat pembekal tenaga elektrik monopoli negara itu mengumumkan dividen berjumlah RM5.69 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FY2019).

Lembaga Pengarah TNB juga telah meluluskan dividen peringkat tunggal akhir 20 sen sesaham, sekali gus menjadikan jumlah dividen peringkat tunggal itu kepada 50 sen sesaham bagi tempoh kewangan tersebut.

Selain itu, Lembaga Pengarah TNB turut meluluskan dividen khas 50 sen sesaham yang menjadikan jumlah dividen sesaham kepada RM1.

“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut kita dapat memberi dividen pada akhir polisi dividen sebanyak 30 peratus dan 60 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI),” kata Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam kenyataan.


Kenyataan itu menyebut, setakat Mei 2020, barisan pemegang saham utama TNB termasuk Khazanah Nasional Bhd (25.8 peratus); Permodalan Nasional Bhd (18.1 peratus); Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (16.7 peratus) dan Kumpulan Wang Persaraan (6.7 peratus).

“TNB akan terus mengimbangi komitmennya bagi mengembangkan perniagaan demi meraih pulangan saksama untuk pemegang saham selain tanggungjawabnya terhadap pelanggan dalam tempoh semasa yang mencabar ini.

“Kita juga akan terus bekerjasama erat dengan kerajaan untuk menyokong rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan di bawah pakej PRIHATIN dan Bantuan PRIHATIN Elektrik,” katanya.

Ketika tempoh PKP, rakyat merungut ekoran bil elektrik pengguna meningkat antara 25 hingga 40 peratus sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan penggunaan elektrik.

Peningkatan penggunaan elektrik menyebabkan bacaan bil akan masuk dalam tarif blok kedua atau ketiga.

Ini kerana bacaan bil yang diperkenalkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) berdasarkan sekatan tarif.

Berdasarkan penggunaan, maka bil akan menjadi tinggi kerana penggunaan pelanggan meningkat.

Semakin banyak penggunaan elektrik, semakin tinggi bilnya kerana sekatan tarif dibuat seperti itu.

Blok tarif pertama adalah untuk 200kWh penggunaan elektrik pada kadar 21.8 sen; blok 100kWh kedua pada 33.4 sen dan 300kWh blok ketiga pada 51.6 sen. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button