Nasional

Megat optimis menang bida urus Menara KL, walaupun cadangan terkeluar dari skop

Walaupun terkeluar skop, salah sebuah syarikat pembida masih optimis serta yakin layak untuk mendapatkan konsesi mengendalikan Menara Kuala Lumpur.

Bahkan permohonan konsesi selama 45 tahun, adalah yang paling wajar.

Justeru Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin kecewa proposal beliau melalui syarikat Banjaran Sdn Bhd tidak terpilih.

Beliau yang merupakan Pengarah Urusan 360 Atmospehere Menara Kuala Lumpur turut melahirkan kebimbangan nasib para penyewa premis di Menara Kuala Lumpur, apabila jatuh ke tangan syarikat yang diragui kewibawaannya.

Beliau juga tidak tahu masa depan perniagaan restoran berputarnya di mercu tanda negara itu.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima notis agar keluar daripada premis di menara berkenaan pada 10 November lalu, namun dibenarkan beroperasi selama enam bulan lagi selepas membuat rayuan.

“Pihak saya telah mengadakan rundingan dan mereka pada 24 November lalu memberikan penyambungan selama enam bulan untuk syarikat saya beroperasi di Menara Kuala Lumpur.

Shahriman yang sudah menjalankan perniagaan selama 12 tahun di Menara Kuala Lumpur turut mempersoalkan kredibiliti syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd yang mengambil alih konsesi MKLSB.

Katanya, selepas pengambilalihan saham MKLSB oleh syarikat terbabit, nasib penyewa-penyewa premis di Menara Kuala Lumpur semakin tidak jelas.

“Saya nak tahu adakah pemegang saham ini berwibawa atau tidak sebab ini Menara Kuala Lumpur… Anda menguruskan sebuah aset berkepentingan negara.

“Saya baru tahu nama syarikat yang ambil alih itu adalah syarikat Hydroshoppe saya ingat itu Shopee atau kedai apa,” katanya.

Shahriman turut mempersoalkan cara penjualan saham MKLSB kepada syarikat Hydroshoppe yang disifatkannya tidak masuk akal.

“Jadi, sekarang saya sebagai penyewa yang paling lama…nombor dua saya juga pembida untuk mendapatkan konsesi dalam Menara KL ini. Saya ikut segala prosedur termasuk syarikat lain tapi tiba-tiba jadi macam ni. Agak tak masuk akal,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penjualan saham MKLSB kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd.

Beliau kecewa kerana berpendapat idea untuk menjadikan menara sebagai hotel boutique serta menyediakan glamcamp paling tinggi merit.

Bahkan beliau merancang untuk membuka outlet Madame Tussauds dan litar go-kart walaupun ia terkeluar dari skop konsesi.

Siasatan Suara Merdeka mendapati terdapat tujuh buah syarikat telah mengemukakan cadangan pengambil-alihan pengurusan menara berkenaan.

Bagaimanapun dua syarikat terlewat menghantar proposal menyebabkan hilang kelayakan.

Hydroshoppe dipilih selepas mengemukakan proposal paling sesuai mengikut keperluan dan hanya menetapkan tempoh konsesi selama 15 tahun.

TM pula memutuskan untuk melepaskan pengendalian menara kerana Menara Kuala Lumpur bukan lagi sebuah menara komunikasi.

Teknologi masa kini tidak lagi memerlukan menara yang tinggi, menyebabkan menara berkenaan beralih fungsi kepada sebagai premis tarikan pelancong sahaja.

Justeru itu TM yang mahu menumpukan kepada perniagaan komunikasi memutuskan untuk tidak lagi terlibat dengan perniagaan menguruskan menara itu.

Sebelum ini terdapat pihak mendakwa perniagaan yang menguntungkan itu telah beralih tangan secara senyap-senyap.

Perkara itu dilaporkan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

(Visited 688 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button