Berita

Enam Rumah Teres Musnah di Bandar Tun Razak

ENAM buah rumah teres di Jalan 38, Taman Mulia, Bandar Tun Razak musnah dalam kebakaran awal pagi tadi, menyebabkan sekurang-kurangnya 18 penghuni kehilangan tempat tinggal.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.50 pagi dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, Cheras, Hang Tuah dan Seputeh ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi, api sedang marak membakar deretan rumah satu tingkat itu. Operasi pemadaman segera dilakukan melibatkan kekuatan 40 anggota dan pegawai serta beberapa jentera.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun enam buah rumah musnah sepenuhnya dan tiga lagi mengalami kerosakan 10 hingga 30 peratus,” kata Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, Zulfikar Mohd Razilan.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, pihak bomba berjaya mengawal api sepenuhnya pada jam 6.30 pagi.

Difahamkan, kebanyakan penghuni sempat keluar menyelamatkan diri sebaik menyedari kejadian.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button