Hiburan

Produser drama atau pengurus produksi yang tipu Wan Maimunah?

DRAMATIS yang murah dengan air mata dalam lakonannya, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 68, memberitahu dirinya kerap kali ditipu produser sepanjang 50 tahun mendambakan diri sebagai anak seni.

Dengan linangan air mata, beliau bingung memikirkan mengapakah dirinya menjadi mangsa produser-produser yang mengambil kesempatan, menawarkan job lakonan tetapi tidak menunaikan bayaran yang dijanjikan.

“Selama 50 tahun berlakon, saya kerap ditipu oleh produser. Mereka janji memberi bayaran tertentu tetapi selepas selesai sesi penggambaran, pernah saya tidak terima satu sen bayaran yang dijanjikan,” katanya.

Menurut Wan Maimunah, bukan sekali dua beliau dipermainkan begitu tetapi sudah banyak kali dirinya ditipu.

“Apa lagi yang boleh saya katakan selain inilah nasib saya. Jujur pun kena tipu,” ujarnya.

Beliau menyangkal telahan orang ramai yang mengatakan sebagai pelakon, beliau mempunyai banyai duit.

Apa yang orang tidak tahu, jelas Wan Maimunah, penat bekerja tetapi tidak dibayar.

“Inilah realiti kehidupan sebagai anak seni,” katanya dengan air mata berjujuran jatuh membasahi pipi.

Curahan hati Wan Maimunah itu dinyatakannya ketika menjadi tetamu khas sempena sambutan Hari Seniman Peringkat Negeri Melaka bertempat di Kota Fesyen Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Program tersebut anjuran Jabatan Penerangan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sam dan Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Mengulas lanjut Wan Maimunah yang mesra dipanggil Ibu berkata, kebanyakan anak seni memendam rasa, makan hati dan jarang meluahkan apa yang terbuku di dalam dada.

Ini kerana, kata Wan Maimunah, suka dan minat yang amat mendalam dalam bidang seni lakon membuatkan mereka lebih mengambil pendekatan kunci mulut.

“Sebab itulah akhir-akhir ini saya terpaksa menolak tawaran berlakon kerana tidak tahu nak kata apa. Kalau terima, bayaran ditipu. Jadi, tolaklah.

“Cuma satu, saya merayu kepada produser-produser, turunlah padang dan tengok-tengoklah berapakah bayaran yang diberi kepada pelakon khususnya pelakon yang senior seperti saya,” katanya.

Kata Wan Maimunah, ada kalanya bukan produser yang tidak bayar para pelakon sebaliknya pengurus produksi yang cekau bayaran.

Untuk pemahaman, dalam sesebuah produksi drama, para pelakon termasuk kru dan pengarah akan menerima 50 peratus pertama bayaran termasuk pengurus produksi.

Baki 50 peratus lagi akan dibayar kepada semua yang terlibat dalam pembikinan drama berkenaan selepas tamat sesi penggambaran.

Itu adalah tanggungjawab pengurus produksi untuk menghubungi para pelakon dan mereka yang terlibat dalam penggambaran drama, untuk menerima baki bayaran.

Dalam penjelasan Wan Maimunah yang mungkin ditipu oleh pengurus produksi, senario yang terjadi ialah apabila pelakon menghubungi pengurus produksi melalui telefon, panggilan tidak dijawab.

Mesej juga tidak dijawab dan bagi Wan Maimunah, pengalaman yang pernah dilaluinya itu walaupun pahit tetapi beliau pasrah.

“Tidak mengapalah. Rezeki Allah yang bagi, insya-Allah ada rezeki lain,” katanya.

Beliau berharap semoga Allah memberi hidayah kepada mereka yang sering menipu anak seni agar tidak lagi melakukan perbuatan itu lagi. – SM

(Visited 427 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button