Bola SepakSukan

Enam Kelab EPL tarik diri daripada Liga Super Eropah

KESEMUA kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang terlibat dengan perancangan Liga Super Eropah secara rasmi menarik diri daripada pertandingan tersebut.

Manchester City menjadi pasukan pertama yang mengumumkan secara rasmi berundur daripada perancangan itu dan dalam satu kenyataan kelab tersebut berkata: “Kelab Bola Sepak Manchester City mengesahkan bahawa pihaknya secara rasmi menetapkan prosedur untuk menarik diri daripada kumpulan yang membentuk perancangan untuk Liga Super Eropah.”

Turut mengikut jejak City adalah Manchester United, Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Tottenham yang menyaksikan pertandingan tersebut gagal direalisasikan.
United berkata: “Manchester United tidak akan menyertai Liga Super Eropah.

“Kami telah mendengar dengan teliti reaksi daripada pada peminat, kerajaan United Kingdom dan pemegang taruh utama.

“Kami kekal komited untuk bekerja dengan seluruh komuniti bola sepak bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih efektif dalam menghadapi cabaran jangka panjang untuk sukan ini.”


Sementara itu, Liverpool pula menjelaskan: “Kelab Bola Sepak Liverpool mengesahkan pembabitan kami dalam mengusulkan perancangan bagi membentuk Liga Super Eropah tidak akan diteruskan.

“Sejak beberapa hari lalu, kelab telah menerima pembentangan daripada beberapa pemegang taruh utama, baik di dalam serta di luar dan kami berterima kasih kepada mereka di atas sumbangan yang bernilai.”

Arsenal pula memohon maaf kepada penyokong, dan menulis satu surat terbuka yang menyertakan kata-kata:
“Hasil daripada mendengar pandangan anda dan komuniti bola sepak sejak beberapa hari lalu, kami menarik diri daripada mengusulkan Liga Super. Kami telah melakukan kesilapan, dan kami memohon maaf.

“Kami sedar ia akan mengambil masa untuk mengembalikan kepercayaan anda terhadap apa yang ingin kami capai di Arsenal, tetapi biarlah kami jelaskan bahawa keputusan untuk menjadi sebahagian daripada Liga Super didorong oleh keinginan kami untuk melindungi Arsenal, kelab yang anda cintai ini, selain, untuk menyokong permainan yang anda gemar ini melalui solidariti dan kestabilan kewangan yang lebih kukuh.”

Dalam pada itu, Tottenham menerusi kenyataan Pengerusi kelab, Daniel Levy berkata: “Kami kesal terhadap kebimbangan dan dukacita yang tercetus daripada usul menubuhkan Liga Super Eropah. Kami berasakan amat penting untuk kelab melibatkan diri dalam pembangunan yang memperkenalkan struktur baharu bagi mencari jalan penyelesaian kewangan yang lebih baik dan mantap, di samping meningkatkan sokongan kepada piramid bola sepak yang lebih luas.

“Kami percaya bahawa kami tidak boleh berdiri tegak tanpa berbuat apa-apa dan sukan ini memerlukan satu kajian semula bagi memastikan pertandingan dan pertadbiran bola sepak dapat terus berkembang serta menarik peminat dari seluruh dunia.

“Kami sepatutnya berterima kasih kepada penyokong yang melontarkan pandangan mereka.”

Chelsea pula masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, tetapi kelab itu telah menyatakan penarikan diri mereka daripada pertandingan tersebut. – Mirror – SM

(Visited 38 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button