JenayahNasionalNegeri

Enam ditahan tangguk siput retak seribu secara haram

Seorang tekong dan lima awak-awak ditahan setelah didapati menangguk siput retak seribu secara haram di perairan Kuala Sanglang, Perlis pada pukul 12.15 malam semalam.

Kesemua nelayan ditahan bersama dengan bot Kelas A yang berpangkalan di Jeti Kuala Kedah, Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, penahanan ini dilakukan setelah pihak Maritim Malaysia tiba di lokasi kedudukan bot bernombor pendaftaran KHF 1772 yang lebih kurang 7.3 batu nautika dari barat muara Kuala Sanglang.

“Ia hasil maklumat awam yang disalurkan melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, tekong dan awak-awak yang kesemuanya warga tempatan itu berumur antara 37 hingga 50 tahun.

Mohd. Hashim berkata, kesemua tekong, awak-awak dan bot serta hasil tangkapan siput yang dianggarkan bernilai RM 31,200 tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan,” katanya.

Beliau menambah, aktiviti pencerobohan kawasan perikanan bagi tujuan menangkap siput secara haram masih berlaku di negeri ini sekalipun pihaknya melakukan rondaan yang kerap.

Katanya, ini kerana perairan Perlis merupakan habitat pembiakan baka siput retak seribu.

Zon Maritim Kuala Perlis juga berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat salah laku jenayah maritim.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button