Nasional

Pensyarah warga AS jadi mangsa ragut lelaki warga Indonesia

SEORANG wanita yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah sekolah antarabangsa di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur menjadi mangsa ragut ketika sedang berjalan kaki ke tempat kerjanya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi semalam.

“Mangsa yang berusia 39 tahun ketika itu sedang berjalan kaki sejauh 300 meter dari rumahnya ke tempat kerja sebelum datang seorang lelaki bersenjatakan pisau.

“Mangsa yang berada dalam keadaan terkejut telah menyerahkan telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai berjumlah RM40 kepada suspek,” katanya.

Menurut Rajab Ahad lagi, suspek kemudian bertindak melarikan diri selepas beberapa orang awam cuba menangkapnya.

Susulan itu, polis telah berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki warga Indonesia di sebuah rumah di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur yang disyaki terlibat dengan kes tersebut.

“Kita telah menemukan sebuah telefon bimbit milik mangsa ketika tangkapan dilakukan.

“Suspek kini ditahan reman selama lima hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Megat Mohd. Faris Megas Shaffari (019-454 3002) atau pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Sharizal Saleh (017-713 4705). -SM

(Visited 106 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button