Nasional

Empat suspek penyamun ditembak mati

POLIS menembak mati empat penyamun  selepas terbabit dalam pergelutan di Jalan Pagoh-Parit Sulong di Batu Pahat, pagi tadi.

Kejadian berlaku pada pukul  3.15 pagi itu ketika, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan dua kenderaan yang mencurigakan.

“Sebaik polis mendekati kenderaan untuk melakukan pemeriksaan secara tiba-tiba penumpang kereta Toyota Avanza bertindak agresif dan pemandu pula melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Pada masa yang sama, penumpang kereta Toyota Avanza serta pemandu dan penumpang Perodua Myvi cuba melarikan diri, ” kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Batu Pahat, hari ini.

Katanya berlaku pergelutan ketika suspek ditahan dan mereka menyerang anggota polis dengan parang dan kerambit.


“Seorang suspek melibas seorang pegawai polis dengan sebilah kerambit sehingga cedera di tangan.

“Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat suspek tiada pengenalan diri dan polis merampas sepucuk pistol Revolver hitam dengan enam kelongsong serta empat butir peluru, dua parang dan sebilah kerambit

“Beberapa peralatan dipercayai untuk pecah rumah dirampas bersama dua kenderaan yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Mayat suspek dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang untuk proses bedah siasat,” katanya.

(Visited 201 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button