Kebakaran

Empat rumah hangus terbakar

Enam penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila empat buah rumah berhampiran pangsapuri Bukit Piatu di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu membabitkan rumah berkembar separa kayu berusia 50 tahun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan parah.

Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun sempat menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba memadam kebakaran yang berlaku.

Menurutnya, tindakan pantas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan Melaka Tengah berjaya menyelamatkan dua rumah berdekatan daripada turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.34 malam dengan kekuatan 34 anggota dan pegawai dengan kehadiran tiga jentera iaitu dua dari Melaka Tengah dan sebuah dari Ayer Keroh serta Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sampai di lokasi kejadian terdapat kebakaran lebih daripada sebuah rumah yang berlaku sangat pantas. Sewaktu menerima panggilan kecemasan, pemanggil memaklumkan hanya sebuah rumah terbakar.

“Kebakaran telah merebak dengan cepat sehingga ke rumah keempat namun pasukan bomba dapat mengawal kebakaran dengan cepat daripada melibatkan dua buah rumah berhampiran,” ujarnya kepada pemberita di tempat kejadian.

Zulkhairani berkata, walaupun berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 11 minit namun pihaknya berdepan kesukaran kerana rumah dengan struktur separa kayu itu memudahkan api merebak dengan cepat.

Sementara itu seorang penghuni Cheah Wei Liang, 43, berkata, dia sempat menyelamatkan ibunya berusia 60 tahun dan kakaknya yang sewaktu kejadian berada di rumah tersebut.

“Sejurus saya membawa ibu dan kakak keluar, saya cuba untuk menyelamatkan beberapa barangan namun gagal disebabkan api marak dengan cepat cuma saya mengalami melecur sedikit di bahu,” ujarnya yang bekerja sebagai juruteknik.

Seorang lagi penghuni Gan Kim Lai, 60, berkata, sewaktu kebakaran berlaku di berada di sebuah restoran tidak jauh dari rumah yang disewanya sejak dua tahun lalu.

“Saya keluar ke sebuah restoran apabila elektrik di rumah terputus namun sewaktu sedang minum saya diberitahu jiran rumah saya hangus terbakar,” ujarnya.

Katanya, sewaktu tiba di hadapan rumah, dia terkejut melihat api marak dengan cepat hingga dia tidak dapat menyelamatkan barangan miliknya. – SM

(Visited 144 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button