Mahkamah

Empat Pengamal Perubatan Tradisional Dipenjara Tiga Tahun Kerana Membelasah Pensyarah Hingga Buta Mata

KOTA BHARU, 22 Jun 2025 – Empat pengamal perubatan tradisional, termasuk dua individu dikenali sebagai Wea Selamos dan Tok Singa, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah membelasah seorang pensyarah hingga menyebabkan mangsa buta mata kiri dalam kejadian empat tahun lalu.

Hakim Mohd Zul Zaqikudin Zulkifli menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Wea Selamos (nama sebenar Mohd Shamsul Izwan Midin) dan Tok Singa (Muhammad Firdaus Mohd Adnan), masing-masing berusia 37 tahun. Dua lagi tertuduh ialah Idrees Ishak, 46, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 39 – semuanya pengamal perubatan tradisional.

Dalam penghakimannya, Hakim berkata mahkamah menolak pembelaan keempat-empat tertuduh yang disifatkan sebagai “penafian semata-mata.”

“Mahkamah mendapati pembelaan keempat-empat tertuduh adalah penafian semata-mata. Maka semua tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa, Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 43, sehingga menyebabkan mangsa mengalami hilang penglihatan kekal pada mata kiri.

Kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi, pada 5 Ogos 2021, di sebuah rumah tumpangan di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.

Kes dikendalikan oleh pendakwa raya Jabatan Peguam Negara manakala semua tertuduh diwakili peguam masing-masing.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button