Bola SepakSukan

Empat pemain Arsenal dikuarantin, menjelang aksi menentang Liverpool

PERSEDIAAN Arsenal menjelang perlawanan Piala Perisai Komuniti berdepan tamparan hebat, setelah empat pemain mereka dilaporkan lewat kembali ke pangkalan latihan kerana perlu mengasingkan diri.
Skuad bimbingan Mikel Arteta yang merupakan juara Piala FA, bakal berdepan pemenang Liga Perdana Inggeris, Liverpool, esok dalam aksi pembuka tirai bagi musim 2020/21 di Wembley.
Namun, bos Gunners, Arteta berkata, pada ketika ini, bukanlah waktu terbaik untuk bermain, dengan beberapa pemainnya masih perlu menjalani kuarantin.
Penjaga gol, Emilano Martinez yang mempamerkan aksi mengagumkan selepas menggantikan Bernd Leno yang ditimpa kecederaan sewaktu saingan liga disambung semula, kini mengasingkan dirinya selepas bercuti di Portugal.
Pemain Argentina itu boleh bermain pada Sabtu, selepas tempoh kuarantinnya berakhir, bagaimanapun dia terpaksa melewatkan penyertaannya pada sesi latihan pra-musim, dan dijangka kehilangan tempatnya itu kepada Leno.
Seorang lagi pemain yang perlu menjalani kuarantin ialah pemain baharu yang bakal ditandatangani kelab, Gabriel Magalhaes, menurut The Sun.
Akhbar itu melaporkan bahawa Gabriel kini menjalani kuarantin di United Kingdom sambil pemain pertahanan dari Lille berusia 22 tahun itu menanti perpindahannya yang bernilai 25 juta pound (RM137 juta) dilengkapkan.
Menurut Mail Online pula, dua lagi pemain Arsenal yang tidak dinamakan turut menjalani proses kuarantin.
Kempen Liga Perdana tidak akan bermula sehinggalah 12 September ini, dengan musim lalu baru sahaja berakhir Julai lepas ekoran pandemik coronavirus.
Arteta berkata, aksi hujung minggu ini, bukanlah masa terbaik untuk pertembungan Piala Perisai Komuniti, yang biasanya berlangsung seminggu sebelum kempen liga bermula.
“Kami terpaksa mengharungi pelbagai masalah dengan sekatan dan peraturan daripada Kerajaan dan Liga Perdana. Ia memang sukar dijangka apa yang akan berlaku dari hari ke hari.
“Tetapi kami cuba menyesuaikan diri dan memastikan pasukan berada pada prestasi terbaik untuk perlawanan Sabtu ini.
“Kami hanya menjalani dua sesi latihan dan perlawanan ini hadir pada ketika kami baru sahaja menjalani mini pra-musim, jadi ia memang bukan masa yang sesuai,” kata bos Arsenal itu.
Dengan Martinez lewat menyertai latihan, Leno bakal menggalas tanggungjawab tersebut Sabtu ini, setelah pulih daripada kecederaan lutut. – Mirror UK – SM

(Visited 85 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button