Nasionalpilihan

Pelepasan nyamuk berwolbachia atasi wabak denggi

Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia ke seluruh negara ekoran kejayaan program perintis di 27 lokaliti dalam usaha memperkukuhkan aktiviti kawalan denggi.

Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, kejayaan program perintis di 27 lokaliti di seluruh negara itu mendapati kaedah pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia telah dapat mengatasi peningkatan wabak tersebut.

Menurutnya, beberapa lokaliti wabak tersebut terutama di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Selangor setakat ini tidak ada kes demam denggi dilaporkan selepas pelepasan nyamuk berkenaan.

“Kejayaan program perintis membuktikan kaedah pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia telah dapat mengurangkan peningkatan kes denggi di lokaliti terbabit.

“Nyamuk berWolbachia adalah satu inovasi dalam menangani peningkatan kes denggi dan ini terbukti apabila tiada kes denggi direkodkan di 27 lokaliti berulang semula.

“Ini kerana Bakteria Wolbachia disuntik ke dalam telur nyamuk Aedes akan merencatkan pertumbuhan virus denggi di dalam nyamuk dan seterusnya menghalang penyebaran virus denggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia Fasa Dua di Taman Bemban Jaya di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusid Abd. Rahman.

Mengulas lanjut Lukanisman berkata, orang ramai tidak perlu risau mengenai kaedah pelepasan nyamuk berkenaan yang disahkan selamat terhadap manusia dan alam sekitar oleh KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurutnya, di Melaka sebanyak 300,000 nyamuk tersebut telah dilepaskan sejak Mac 2022 di Taman Bemban Jaya yang dipilih sebagai lokasi pertama tempat pelepasan nyamuk tersebut di negeri ini.

Katanya, sehingga kini iaitu bagi minggu epid ke-21 tiada kes demam denggi dilaporkan dari lokaliti ini.

“Ini menunjukkan hasil yang sangat positif dan kepadatan nyamuk Aedes berwolbachia juga telah mencapai 80 peratus frekuensi seperti yang disasarkan oleh KKM,” ujarnya.

Katanya, projek tersebut bermula dengan menggunakan kaedah pelepasan telur nyamuk Aedes berwolbachia dan kini projek tersebut berada dalam fasa pelepasan nyamuk dewasa.

Jelasnya, pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia dewasa ni akan dijalankan setiap minggu dengan bilangan 10,000 ekor sekali dilepaskan selama lapan minggu berturut-turut. – SM

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button