NasionalParlimen

Laporan akhir siasatan kematian Adib dibentang Jun

LAPORAN akhir siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Jun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), Wan Junaidi berkata, untuk tujuan itu, satu laporan interim sedang disediakan dan akan dibentangkan selepas 15 Mac.

“Jawatankuasa Khas ini sedang melaksanakan fungsinya dalam tempoh enam bulan dan bagi tujuan pelaporan, satu laporan interim sedang disediakan selepas tempoh tiga bulan.

“Laporan tersebut akan dibentangkan selepas 15 Mac 2022 dan laporan akhir jawatankuasa dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Jun ini,” katanya.

Fadhli meminta kerajaan menyatakan status jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian anggota bomba berkenaan.

Kerajaan pada 8 Oktober lalu mengumumkan, penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian Adib.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Wan Junaidi itu turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Idrus Harun.

Adib cedera ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas bertarung nyawa selama 21 hari.

Arwah Adib dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali. – SM

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button