Nasional

Kehadiran TPM, 6 menteri sokong hiasan Tahun Baharu Cina di SMK hantar isyarat salah

TINDAKAN Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah dan enam menteri dan seorang timbalan menteri yang hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 semata-mata mahu menunjukkan sokongan terhadap hiasan Tahun Baharu Cina boleh memberi isyarat salah kepada masyarakat Melayu.

Pendakawah bebas berketurunan Cina, Firdaus Wong Wai Hung yang melahirkan perasaan bimbang itu berkata, dia setuju sokongan jemaah menteri dalam isu tersebut untuk memberikan mesej yang jelas bahawa Malaysia adalah negara berbilang bangsa dan agama.

Sokongan itu turut perlu untuk memberi mesej bahawa rakyat Malaysia perlu hidup saling menghormati serta mengenali dan perhiasan Tahun Baharu Cinadi sekolah itu tidak menjadi suatu isu.

Namun kehadiran mereka secara beramai dan serentak akan membuatkan masyarakat Melayu dan para pendokong pendidikan nasional berfikir bahawa para menteri lebih berminat menjaga hati dan perasaan ‘bukan Melayu dan Muslim’ manakala Melayu dianaktirikan.

Firdaus berkata, alangkah baiknya andai solidariti begini ditunjukkan apabila isu bantahan pengajaran Jawi dan bantahan terhadap Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk mengadakan program Rakan Siswa Yadim di sekolah dan university awam.

“Saya yakin tindakan menteri-menteri pada hari ini akan meredakan isu perhiasan Tahun Baru Cina di sekolah tersebut tetapi saya juga risau ianya akan menghantar mesej yang salah kepada masyarakat Melayu

“Bak kata pepatah, kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Saya amat risau tindakan menteri-menteri ini akan menyemarakkan lagi jurang perkauman dan saya yakin akan ada pihak mengambil kesempatan mengapi-apikan keadaan.

“Isu perhiasan Tahun Baru Cina sebuah sekolah yang saya sendiri merasakan tidak sepatutnya menjadi suatu isu pun tetapi alangkah baiknya andai solidariti begini ditunjukkan apabila isu pengajaran Jawi dan hak perlembagaan Yadim untuk mengajar Islam kepada pelajar Islam di sekolah,”kata Firdaus.

Selain Dr. Wan Azizah turut hadir di sekolah itu semalam adalah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli; Dr. Xavier Jayakumar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof dan Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah.

Turut hadir memberikan sokongan adalah Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, Exco Negeri Selangor Dr. Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Dr. Mahanom Mat Sam.

Sebelum ini Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima aduan ibu bapa berkaitan perhiasan sambutan Tahun Baharu Cina di sekolah tersebut yang dikatakan keterlaluan.

Mohd. Khairul yang juga Pengerusi Biro Aduan Awam dan Undang-Undang Putra telah menulis surat kepada pengetua seekolah tersebut, Rohani Mohd. Nor mengenai aduan tersebut yang mendakwa ibu bapa tidak selesa dengan hiasan berkenaan.

Sementara isu pengajaran tulisan Jawi masih belum reda apabila Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah menyerahkan memorandum penolakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular kepada Kementerian Pendidikan.

Isu penolakan pengajaran Jawi tidak mendapat reaksi yang hebat seperti mana isu aduan mengenai hiasan sambutan Tahun Baharu Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 yang dikatakan keterlaluan itu.

Dalam isu berkaitan Yadim pula, beberapa pihak membantah program Rakan Siswa Yadim di sekolah dan universiti awam apabila surat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan didedahkan.

Misi Rakan Siswa Yadim adalah melahirkan golongan muda yang berketrampilan dan berakhlak mulia tanpa sebarang agenda politik namun dibantah oleh pihak berkenaan.-SM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(Visited 445 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button