Nasionalpilihan

Yayasan Tenaga Nasional peruntuk RM120 juta tajaan untuk 331 pelajar

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) memperuntukkan RM120 juta bagi tajaan biasiswa dan tajaan pinjaman pendidikan boleh ubah kepada 331 orang pelajar yang berjaya melanjutkan  pengajian mereka di Institutsi Pengajian Tinggi, tahun ini.

Dari keseluruhan RM120 juta itu, TNB memperuntukkan RM35 juta dalam bentuk biasiswa kepada 120 pelajar cemerlang SPM 2020 bagi melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan, data sains dan analitik, sains komputer, perakaunan dan pengajian perniagaan.

Penerima biasiswa  ini dipilih daripada sejumlah 8,400 pemohon di seluruh negara yang mengemukakan permohonan untuk biasiswa YTN.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, 100 penerima biasiswa YTN itu akan melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Manakala baki 20 pelajar lagi akan menlanjutkan pengajian di universiti luar negara. Tajaan biasiswa penuh itu merangkumi elaun sara hidup, yuran pengajian, kos pembelian komputer peribadi, buku dan lain-lain keperluan.

“Pelajar-pelajar ini telah membuktikan bahawa mereka mampu mendapat keputusan  yang cemerlang meskipun terpaksa berdepan dengan situasi pembelajaran dalam talian berbanding pembelajaran secara konvensional iaitu secara bersemuka lantaran penularan COVID-19.

“YTN memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi pembiayaan seorang pelajar sepanjang tempoh pengajian di universiti luar negara, manakala RM120,000 hingga RM140,000  (bergantung kepada bidang pengajian) bagi  pembiayaan  pengajian seorang pelajar di UNITEN,” katanya.

Menurut Mahdzir, penerima biasiswa YTN pada tahun ini dipilih berdasarkan faktor akademik, kualiti kepimpinan dan penglibatan aktif dalam kokurikulum.

Jelasnya, pelajar yang terpilih ini juga mempunyai peluang untuk menjadi warga kerja TNB apabila tamat pengajian kelak dan diharapkan dapat menjadi pemimpin pelapis untuk menerajui TNB pada masa depan.

Tambah Mahdzir lagi, tajaan biasiswa ini merupakan satu lagi komitmen TNB untuk terus bersama rakyat, selain membantu usaha meningkatkan modal insan berkualiti untuk pertumbuhan negara di masa akan datang.

Sementara itu, seramai 211 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM85 juta pula terpilih menerima pinjaman pendidikan boleh ubah untuk mengikuti pengajian di UNITEN dan Universiti Awam bagi mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Program Asas dan Ijazah Sarjana Muda.

YTN telah memperuntukkan lebih RM1.2 bilion sejak dari tahun 1993 lagi dengan memberikan peruntukan dermasiswa MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar. -SM

(Visited 328 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button