KemalanganNasionalNegeri

Dipanah petir: Anak melecur 25%, ibu tidak cedera

BUNYI kuat bagai letupan pertunjukan bunga api pada kira-kira pukul 7 malam tadi semasa hujan renyai mengundang kejadian malang kepada dua beranak di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat, Perlis apabila keduanya dipanah petir.

Muhamad Azizul Jaafar, 8, melecur badan 25 peratus dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah bagi menerima rawatan pakar kulit.

Amirizal menunjukkan masih ada kasut dua mangsa panahan petir di tempat kejadian di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat, Perlis.

Manakala ibunya, Nor Lelawati Abu Bakar, 39, yang juga berada di tempat kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi masih dalam keadaan trauma.

Seorang saksi, Amirizal Jaafar, 32, menceritakan, beliau mendengar bunyi letupan itu dari tempat kejadian semasa berada di bumbung kilang membakar sekam bersama rakan sekerjanya, Che Muhamad Che Natt, 34, bagi menggantikan atap yang bocor.

Beliau segera turun daripada bumbung kilang apabila kedengaran bunyi bising dan sebaik sampai ke tempat kejadian, beliau melihat adiknya, Muhamad Azizul dan ibunya Nor Lelawati Abu Bakar telah terbaring di antara pokok asam dan pokok gonchar.

Amirizal berkata, beliau segera mengangkat adiknya yang dilihat dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan melecur dan berbau hangit ke rumah mereka yang jaraknya kira-kira 50 meter sahaja dari tempat kejadian.

Manakala Nor Lelawati pula terpaksa diangkat oleh suaminya, Jaafar Saidin, 65, Amirizal dan seorang lagi pekerja di kilang semai padi milik mereka kerana keadaan badan mangsa yang kejang.

Kedua-duanya dimasukkan ke dalam kereta bagi mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis.

Sementara itu, Nor Lelawati memberitahu, sebelum kejadian, beliau ke rumah jiran bersama dengan anak keduanya itu untuk memanggil pulang anak sulungnya yang berusia 15 tahun iaitu seorang Orang Kelainan Upaya (OKU).

Sewaktu berjalan pulang dan sampai di tempat kejadian, beliau terus jatuh tersemban apabila terasa benda berat menolak di bahagian belakangnya.

“Saya masih mampu celik mata dengan pandangan kabur apabila dipanggil oleh anak OKU sebelum pengsan,” katanya ketika ditemui media di rumahnya, hari ini.

Nor Lelawati berkata, ketika itu beliau tidak mampu bergerak kerana keadaan diri menjadi kejang dan tekaknya terasa panas.

Sebaik tiba di hospital semasa dipisahkan bilik rawatan, beliau sempat mendengar tangisan anaknya.

Beliau bersyukur kerana hasil pemeriksaan lanjut tiada sebarang kecederaan dalaman dialami cuma masih terasa sakit di bahagian dada kesan jatuh tersembam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsein Md. Rodi mengesahkan kejadian dan menerima laporan kes berkenaan. – SM

BACA Petani terkejut lebih 500 biri-biri mati dipanah petir

(Visited 87 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button