Rencah Hidup

Maklumat awal dia masih muslim – Ahmad Marzuk

Status agama, tunggu Illi Najwa balik Malaysia, Manpreet Singh

MAKLUMAT awal mengenai seorang wanita Malaysia yang berasal dari Johor berkahwin dengan skipper dan juga Kapten Hoki Kebangsaan India, Manpreet Singh Pawar, Illi Najwa Saddique yang dikatakan masih lagi menganut agama Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaari berkata, sehingga kini pihak berkuasa tidak menerima sebarang permohonan daripada Illi Najwa Saddique untuk bernikah di luar negara.

“Berdasarkan maklumat awal yang diterima, wanita berkenaan masih seorang muslim (beragama Islam) dan setakat ini, tiada permohonan diterima daripadanya untuk menukar agama.

“Kita juga tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada wanita ini (Illi Najwa) untuk berkahwin di luar negara. Menerusi pembacaan saya di media sosial, wanita ini masih beragama Islam dan lelaki itu (Manpreet Singh) dikatakan sudah pun memeluk agama Islam akhir tahun lalu.

“Perkara ini akan terungkai sebaik kita mendapat penjelasan daripada wanita itu sendiri,” katanya kepada media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Musim Tengkujuh kepada nelayan dan petani peringkat DUN Panchor, di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, pihak berkuasa akan berurusan dengan Illi Najwa sekembalinya dia ke Malaysia.

Menurutnya, setakat ini pihaknya masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) berhubung status agama wanita berkenaan.

Terdahulu, satu video majlis perkahwinan yang didakwa dilakukan mengikut upacara agama Sikh berlangsung di India itu juga turut tular di media sosial.

Status agama wanita Melayu itu dipersoalkan selepas video itu memaparkan dia kelihatan melakukan upacara agama Sikh.

Pasangan itu sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu dan dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan 16 Disember lepas.

Manpreet kali pertama bertemu Illi Najwa yang menyaksikan perlawanan ketika dia mengetuai pasukan remaja India pada saingan hoki Piala Sultan Johor 2012.

Difahamkan mereka kerap berhubung apabila Manpreet kembali mengetuai pasukan kebangsaan India pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.

Manpreet dilahirkan pada 26 Jun 1992 dilantik sebagai kapten India sejak Mei 2017. Manakala Illi Najwa bekerja di sebuah universiti swasta di Malaysia dengan bertugas mengawal perancangan, pengembangan perniagaan dan aktiviti pengambilan pelajar di pasaran Asia Selatan.

Majlis resepsi perkahwinan pasangan ini diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban sementara Illi Najwa memakai pakaian pengantin perempuan Punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Majlis yang ringkas dan meriah itu dihadiri keluarga, saudara mara, pemain pasukan kebangsaan, pengurusan dan tetamu jemputan.

Pasangan itu dijadualkan berkahwin pada April lalu, dengan resepsi majlis di Ludhiana, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19. – SM

 

 

 

(Visited 1,236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button