Ekonomi

MAPC ucap syabas kepada kerajaan Belanjawan 2024 mesra pengguna

Persatuan Pengguna Hartanah Malaysia (Malaysia Association of Property Consumers, MAPC), sebuah persatuan pengguna hartanah dan badan bukan kerajaan (NGO) yang baru ditubuhkan, mengucapkan syabas kepada pihak Kerajaan kerana telah menghasilkan laporan belanjawan yang mesra pengguna selaras dengan keperluan semasa rakyat Malaysia.

Presidennya, Datuk Rosli Atan berkata, walaupun belanjawan kali ini adalah lebih mesra pengguna kerana memenuhi hampir keseluruhan kehendak dan keperluan semasa rakyat dalam apa jua sektor namun kami berharap agar akan ada lebih banyak peruntukan untuk sektor hartanah untuk tempoh sederhana dan jangka panjang bagi memulihkan serta memajukan sektor hartanah ke satu tahap yang lebih baik untuk ekonomi negara.

“Selain itu, MAPC juga menyambut tinggi peruntukan RM1 bilion untuk melindungi kesejahteraan warga emas memandangkan Malaysia kini pantas menjadi negara yang semakin berumur. Sebahagian daripada peruntukan ini harus ditujukan kepada pembangunan perkampungan pesara (retirement village) yang dimajukan oleh pihak swasta bagi menjadikannya lebih berdaya maju dan memberi kepelbagaian kepada landskap kehidupan warga emas dalam memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat.

“Pada pandangan MAPC, penggerakan pasukan khas di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyelesaikan isu projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai adalah satu inisiatif yang sangat penting kerana ia dapat memulihkan pasaran hartanah dari sudut penawaran. Namun begitu, terdapat satu lagi isu berbangkit iaitu dari sudut permintaan.

“Projek-projek ini telah terbengkalai adalah kerana mengalami masalah kewangan termasuk disebabkan kekurangan permintaan daripada pembeli atas pelbagai sebab. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan juga harus merangsang permintaan daripada bakal pembeli melalui insentif di bawah Kempen Pemilikan Rumah atau ‘Home Ownership Campaign’ (HOC) serta lain-lain.

“Kajian pasaran dan strategi pemasaran yang profesional juga harus dijalankan oleh perunding hartanah bebas dalam memulihkan projek-projek ini. Jika ini diabaikan, walaupun ia berjaya dipulihkan, kekurangan permintaan dari pembeli akan membawa projek-projek ini kembali ke ambang masalah kewangan,” katanya dalam kenyataan. – SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button