Nasional

Elemen 3 L perlu diamal di kediaman

Penjagaan tentang keselamatan kebakaran di rumah perlu diambil berat oleh seluruh isi rumah. Bagi yang memasak atau menggunakan gas LPG di dapur perlu mengelakkan elemen ‘3L’ iaitu ‘Lupa, Lalai, Leka’ agar tidak terjadi kejadian kebakaran di rumah yang menyumbang kepada lebih 20% punca kebakaran kediaman.

Demikian titah nasihat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail setelah berkenan berangkat menyertai program berbasikal ‘Sedia Menyelamat – 999’ yang bermula dan berakhir di Balai Bomba, Persiaran Jubli Emas, Kangar.

Keberangkatan tiba baginda ke program anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta syarikat Sinar Barakah Enterprise itu disambut oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis, Ruhisha Haris.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengurus Besar Sinar Barakah, Muhammad Faizal Ayub.

Sementara itu, Ruhisha pula menyarankan supaya setiap rumah menyediakan sekurang-kurangnya sebuah alat pemadam api selain alatan keselamatan tambahan seperti ‘fire blanket’ dan ‘self contained smoke detector’. Peralatan ini boleh digunakan sebagai alat pemadaman diperingkat awal oleh isi rumah sebelum tibanya pasukan bomba.

Tambah beliau, ‘Dalam menghadapi cuaca panas yg mana suhu puncak boleh mencapai 37°c di musim timur ini, masyarakat dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka di kawasan yang mana risiko kemerebakkan api akan berlaku terlalu cepat sehingga sukar dikawal. Walaupun kita tahu, pembakaran sisa padi selepas tuaian merupakan ‘cara biasa’, namun ianya masih boleh dikawal sekiranya ia dilakukan dalam skala kecil, kaedah kumpul dan bakar serta pembakaran dilaksanakan pada waktu malam di mana keadaan tidak berangin dan api senang dilihat. Akan tetapi, ianya tetap perlu dikawal’.

Terang beliau lagi, ‘Walaupun keadaan cuaca yang begitu panas, punca kebakaran yang diistilahkan sebagai ‘ spontaneous combustion’ agak jarang berlaku di negara kita kecuali ianya dibantu oleh faktor lain. Punca kebakaran kebun, bendang, lalang dan belukar sebenarnya dilakukan oleh manusia sendiri yang ingin membersihkan kawasan rumah, kebun atau belukar berkenaan untuk sebarang aktiviti seperti bercucuk tanam, menternak dan sebagainya. Tidak kurang juga ada di antara kita yang tidak suka melihat keadaan bersemak samun dan akhirnya tangan kita sendiri juga yang mencetuskan pemula kebakaran. Jika ianya tidak dapat dikawal akhirnya bukan saja mencemarkan alam sekitar, malah boleh mengancam nyawa dan memusnahkan harta benda’.

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button