MahkamahNasionalNegeri

Elaun Covid-19: Timbalan Pengarah (Pengurusan) HTF Kangar tidak mengaku tipu 10 mangsa

SEORANG Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan berkaitan dengan 10 kes penyelewengan dan salahguna kuasa Elaun Covid-19 oleh Kerajaan Negeri Perlis untuk petugas barisan hadapan kesihatan.

Tertuduh, Norhisham Hassan, 44, Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) Gred M52 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah dan meminta kesnya dibicarakan.

Norsalha membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan di mana keseluruhannya berjumlah RM40,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu tertuduh juga dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kangar pada setiap bulan.

Hakim juga menetapkan 7 Februari depan untuk sebutan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan sekalipun berpendapatan RM10,000 sebulan tetapi 80 peratus telah digunakan untuk membayar pelbagai pinjaman termasuk ditipu “scammer”.

Norhisham memberitahu hanya menerima gaji bersih RM2,000 sebulan, tidak mempunyai harta atau barang kemas manakala suami pula hanya pembantu operasi dengan gaji bersih RM1,500 sebulan.

Sebelum itu Timbalan Pendakwaraya SPRM, Rehab Abdul Shukur meminta mahkamah mengenakan wang jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM50,000.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas 10 mangsanya yang bertarikh dari 27 April 2020 hingga 29 April 2020.

Pada tempat kejadian di HTF, Jalan Tun Abdul Razak, Kangar bahawa tertuduh telah menipu setiap mangsanya dengan memperdaya supaya mempercayai telah menerima wang bantuan “One-Off” iaitu Elaun Covid-19 Kerajaan Negeri Perlis untuk barisan hadapan kakitangan dan juga pegawai HTF tahun 2020.

Tertuduh telah dengan curangnya mendorong setiap mangsa untuk menandatangani dokumen rekod yang mengesahkan penerimaan wang bantuan sebanyak RM400.

Setiap mangsa tidak akan menandatangani rekod penerimaan wang tersebut sekiranya tidak diperdaya sedemikian oleh tertuduh.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun yang sama.

Kesalahan ini membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua- duanya sekali. – SM

(Visited 888 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button