fbpx
Politik

Elak sabotaj, 3 penjuru menangkan Muafakat Nasional PRU-15 – Hadi

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menaruh keyakinan tinggi Muafakat Nasional (MN) yang disertai oleh UMNO-Pas-Bersatu akan memenangi pilihan raya umum ke-15 asalkan syaratnya mengelakkan pertembungan tiga penjuru sesama sendiri.

Tegas Ahli Parlimen Marang itu, MN boleh melepasi majoriti mudah 112 kerusi Parlimen dan tidak mustahil dua pertiga 148 kerusi jika bertanding satu lawan satu berdepan Pakatan Harapan serta mengelakkan sabotaj dalam kalangan tiga parti Melayu tersebut.

“Sekiranya gabungan ini bertanding dua penjuru, besar lagilah kita punya kemenangan. Apa yang penting ialah dua penjuru. Ini mesti kita tegaskan.
“Kalau Pas dapat (peruntukan) kerusi (Parlimen dan DUN) lebih besar daripada UMNO atau UMNO dapat lebih dari Pas, masing-masing jangan khianat.

“Kalau Pas dapat (menang) kerusi lebih besar pun, Pas tidak boleh tinggalkan UMNO dan begitu juga sebaliknya. (Parti) Bersatu pun tak boleh ditinggalkan. Yang penting, kita setia kepada perjanjian, iaitu piagam MN,” kata beliau dipetik dalam wawancara dengan Utusan Malaysia hari ini.

Abdul Hadi berkata, konflik pengagihan kerusi antara kalangan tiga parti Melayu dalam MN kelak tidak akan timbul jika soal strategi diatur oleh pemimpin, bukannya ahli-ahli biasa parti.


“Kita kena sedar bahawa UMNO mempunyai sokongan akar umbi. Bersatu pula tiada akar umbi tetapi mempunyai pemimpin yang ada pengaruh. Pas? Akar umbi pun ada, pemimpin pun ada.

“Kita gabungkan pemimpin dahulu dengan memperkasakan perpaduan, menentukan hala tuju, buat garis panduan dan road map, lepas itu turun ke bawah. Pokoknya kita tidak boleh dengar desas-desus (isu pengagihan kerusi),” katanya.

Ditanya bolehkah piagam MN yang bakal ditandatangani oleh UMNO, Pas dan Bersatu termasuk beberapa parti lain yang bakal menyusul, dipercayai serta tidak dilanggar, kata Abdul Hadi:
“Kita (MN) bergantung atas piagam, bukan atas faktor siapa akan jadi Perdana Menteri. Soal siapa akan jadi Perdana Menteri, itu soal sampingan.”

MN adalah kerjasama politik UMNO dan Pas yang ditubuhkan pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lalu.

Pencapaian dalam siri pilihan raya kecil (PRK) yang disertai calon dari gabungan itu begitu memberangsangkan, dengan kemenangan kali keenam berturut-turut di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis dan Chini. Dan dipercayai pencapaian ini berterusan dalam PRK DUN Slim, 29 Ogos ini.

Kemenangan BN dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 contohnya digambarkan bukan sahaja mencerrminkan kekuatan MN semata-mata. Malah disifatkan pemerhati, gabungan itu diterima oleh sebahagian masyarakat semua kaum. Calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng menang besar dengan majoriti 15,086 undi berbanding kekalahannya berjumlah 524 undi dalam PRU-14.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk Mac lalu setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen turut disokong oleh MN.

PN terdiri daripada Bersatu, BN, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kumpulan ahli Parlimen keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu menegaskan, UMNO membuat keputusan tidak menyertai PN sebaliknya akan memperkasakan MN bersama Pas dan komponen BN.

Kata Ahmad Zahid, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen BN pada Rabu 29 Julai lalu menyatakan hasrat membawa partinya menyertai MN.-SM

Show More

Related Articles

Back to top button