Uncategorized

Elak bertelagah, bersatu tangani masalah rakyat

Wartawan Suara Merdeka

MUAR 29 Jun – Pemimpin UMNO tidak perlu bertelagah sesama sendiri secara terbuka kerana tindakan itu
boleh menjejaskan imej parti khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama
lagi.

Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Mohd. Fuad Tukirin berkata, perbalahan itu sepatutnya dibincangkan
di meja rundingan dan bukannya bertikam lidah secara terbuka terutama melalui media sosial ketika
rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning itu lagi, perbalahan sesama sendiri boleh
menyebabkan ahli akar umbi membuat tanggapan bahawa pemimpin parti tidak boleh ditegur atau
dikritik.

“Ini bukan masanya untuk pemimpin UMNO bertelagah sesama sendiri kerana perkara tersebut sebenarnya
memberi ruang dan peluang kepada pembangkang menangguk di air keroh untuk menghentam kita.

“Kita sepatutnya kembali ke landasan yang sebenar dalam memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat
dalam usaha membantu mereka dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ahli UMNO juga harus memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang
berusaha untuk membantu rakyat mengurangkan bebanan yang ditanggung.

“Pada masa yang sama juga kita perlu juga perlu menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku
Presiden UMNO untuk memperkukuhkan perjuangan parti khususnya menghadapi PRU-15 nanti,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas Program Taklimat Bekalan Air daerah Muar kepada ADUN-ADUN di Parlimen Bandar
Maharani dan Bakri oleh Ranhill SAJ Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Taklimat tersebut adalah usaha Ranhill SAJ Sdn. Bhd. bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik
kepada seluruh penduduk di Muar.

Hadir sama Ketua Agensi Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Azeman Md Jani.

Sehubungan itu Mohd. Fuad berharap komitmen semua pihak amat penting bagi memastikan suasana politik
lebih kukuh dan stabil serta dapat menguatkan parti bagi menghadapi PRU-15 nanti.

Dalam pada itu beliau turut kecewa dengan desakan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT), Datuk Seri
Tajuddin Abdul Rahman agar Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai Presiden parti secara terhormat.

Jelasnya, tidak sepatutnya Ahli Parlimen Pasir Salak itu membuat desakan tersebut kerana masih ramai
ahli parti yang percaya terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu terus memimpin parti.

 

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button