Nasional

Ekosistem angkasa Malaysia diperkukuh melalui penguatkuasaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia

Kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan sepenuhnya Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] dan
Peraturan-Peraturan Lembaga Angkasa Malaysia 2024 mulai 1 Januari 2025, menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan ekosistem angkasa negara.

Langkah ini selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) yang menekankan tadbir urus yang baik, inovasi, dan pemantapan kapasiti angkasa untuk pembangunan global yang mampan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, menyatakan bahawa Akta 834 adalah langkah strategik bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran dan peluang dalam sektor angkasa global. Akta ini menyediakan rangka kawal selia menyeluruh, merangkumi:
● Pelesenan aktiviti angkasa – termasuk pelancaran dan pengoperasian objek angkasa berdasarkan piawaian antarabangsa.

● Pengurusan insiden dan kemalangan – menangani kemalangan yang melibatkan objek angkasa bagi melindungi negara daripada liabiliti antarabangsa.

● Perlindungan dan liabiliti – peruntukan berkaitan liabiliti dan perlindungan terhadap Kerajaan daripada tuntutan ganti rugi kerosakan yang disebabkan oleh pelancaran dan pengoperasian objek angkasa.

Penguatkuasaan penuh Akta 834 bukan sahaja memastikan kawal selia yang cekap tetapi juga merancakkan inovasi dan penyertaan sektor swasta dalam industri angkasa.

Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk memulakan ratifikasi triti angkasa di bawah United Nations Committee on Peaceful Uses of Outer Space (UNCOPUOS), sekaligus memperkukuh ekosistem perundangan angkasa negara.

Seiring dengan strategi DAN2030, sektor angkasa dijangka menyumbang kepada:
● 1% KDNK negara (RM10 bilion)
● 5,000 peluang pekerjaan baharu
● RM40 juta kepada pasaran data dan perkhidmatan aplikasi teknologi angkasa

MOSTI menyeru agensi kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat untuk berganding bahu merealisasikan visi Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030, berlandaskan prinsip MADANI dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button