Nasional

Ekonomi negara akan dibuka – Muhyiddin

Selepas setahun wabak Covid-19 melanda negara, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, aktiviti ekonomi akan terus dibuka tertakluk kepada amalan penjarakan sosial serta prosedur operasi standard ( SOP) yang ketat.

Muhyiddin berkata demikian pada majlis amanat setahun Malaysia Prihatin yang diadakan di Putrajaya hari ini.

“Penguatkuasaan SOP akan dipertingkatkan. Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang didapati tidak mematuhi SOP bagi memastikan aktiviti ekonomi dan mata pencarian untuk majoriti rakyat dan perniagaan dapat kekal dibuka dan diteruskan.

“Walaupun aktiviti ekonomi akan dibuka, kawalan pergerakan masih diperlukan termasuk kawalan sempadan antarabangsa, kawalan pergerakan merentasi negeri dan juga aktiviti sosial dan perniagaan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan.

“Pembukaan aktiviti seumpama ini hanya dapat dilaksanakan setelah pelaksanaan imunisasi mencapai tahap tertentu dari segi liputan rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata, mengambil kira situasi ini, kerajaan akan merangka langkah-langkah tambahan dalam tempoh terdekat kepada golongan yang memerlukan.

Pertama – Menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan, terutamanya golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan;

Kedua – Meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca PKP;

Ketiga – Memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam, terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan karenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara; dan

Keempat – Memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Muhyiddin turut menggesa penjawat awam mempercepatkan proses bantuan, lebih-lebih lagi apabila orang ramai sedang berdepan dengan pelbagai kesulitan sewaktu pandemik Covid-19.

“Ini keutamaan nombor satu. Percepatkan proses penyampaian bantuan kepada rakyat. Mereka tidak boleh tunggu lama-lama. Sehari lewat mungkin dapur mereka tidak berasap,” katanya.

“Begitu juga permohonan-permohonan daripada peniaga, pengusaha dan pelabur. Permudahkan proses untuk mereka melabur, memula dan memulihkan perniagaan masing-masing,” katanya.

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button