BeritaPRK

BN licik peralatkan isu PSS

Analisis

JIKA pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dijadualkan dilaksana Jun tahun ini demi untuk kebaikan rakyat dan kedaulatan Sabah, mengapa ia menjadi isu besar pembangkang dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis ini?

Pelik, sehinggakan bekas ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman menyalahkan Ahli Parlimen Tuaran,
Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sebagai punca kononnya ‘permasalahan PSS’ ini.

PSS yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan mula dikeluarkan 1 Jun 2020 matlamatnya jelas. Iaitu, untuk menyeragamkan kepelbagaian dokumen yang dipegang oleh warga asing di Sabah yang dikeluarkan semasa zaman pemerintahan kerajaan sebelum ini.

IMM13 diisukan oleh Jabatan Imigresen sejak 1970 kepada pelarian perang kerana Malaysia mengiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Kad Burung-Burung pula dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Menteri pada 1985 dan 1986 oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) manakala Sijil Banci turut dikeluarkan oleh PBS pada 1990 melalui MKN.

PSS yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan seperti biometrik pemegangnya itu akan menggantikan Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Sijil Burung-Burung dan Sijil Banci yang ada sekarang.

Ketika ini terdapat sebanyak 136,055 dokumen itu di Sabah iaitu IMM13 (51,645), Kad Burung-Burung (36,892) dan Sijil banci sebanyak 47,518.

Berdasarkan jumlah itu, dianggarkan kira-kira 600,000 PSS akan dikeluarkan selepas mengambil kira ahli keluarga seperti isteri atau suami dan anak-anak setiap pemegang ketiga-tiga dokumen asal itu.

Jumlah berkenaan berdasarkan rekod terkini yang mencatatkan sebanyak 136,055 orang pemegang dokumen IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci. Jumlah itu akan berubah semasa pengemaskinian data selanjutnya berikutan pendaftaran tanggungan juga akan diambil kira.

Sehubungan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan di peringkat negeri yang diketuai Jabatan Ketua Menteri dan terdiri daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dan lain-lain agensi yang berkaitan bagi memperincikan mekanisme PSS seterusnya melancarkan operasi.

Isu PSS sebenarnya lebih kepada aspek pentadbiran yang perlu ditangani pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ia bukan isu dengan campur tangan politik seperti disebut oleh Anifah atau UMNO atau Parti Bersatu Sabah untuk menang PRK Kimanis.

Malah, Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah memberi jaminan setiap pemegang PSS tidak akan dipertimbang untuk menjadi Pemastautin Tetap mahupun diberi hak kewarganegaraan.

Bahkan, tiada mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) yang akan diberikan dokumen tersebut kecuali golongan warga asing yang telah memegang Kad Pendaftaran Khas Orang Asing (IMM13), Kad Burung-Burung, dan Sijil Banci yang dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu sejak tahun 1970-an.
“PSS akan terbatal jika pemegangnya disabitkan kesalahan jenayah atau telah mendapat pasport daripada negara asal.
“Walau bagaimanapun, sebelum sebarang dokumen perjalanan daripada negara asal diperoleh, warga asing ini perlu memegang PSS bagi tujuan rekod keberadaan dan pergerakan semasa berada di Sabah,” kata beliau dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Justeru, agak pelik kenapa isu PSS ini dipolitikkan UMNO di Kimanis.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Md. Azis Jamman yang juga Ketua Bahagian Warisan Sepanggar turut melahirkan rasa hairan kerana PSS sebenarnya dicadangkan oleh kerajaan terdahulu bagi menangani isu pendatang asing di Sabah tetapi di bawah nama berbeza.
“Saya tidak ingat nama sebenar cadangan berkenaan tetapi ia turut bertujuan untuk menangani kehadiran pendatang asing di Sabah termasuk pemegang IMM13, Surat Burung-Burung dan sijil Banci.
“Cadangan itu sepatutnya dijalankan kerajaan terdahulu tetapi memandangkan berlaku perubahan kerajaan, maka ia dibawa oleh kerajaan baharu sama ada ia perlu dipertimbangkan sama ada ia diteruskan atau tidak,” kata beliau selepas merasmikan Pejabat Satelit Warisan Sepanggar di pekan Inanam, Disember (2019) lalu

Tegas Md. Azis:
“Sekali lagi saya ingin menekankan di sini PSS bukanlah untuk orang asing baharu tiba di sini tetapi untuk mereka yang memiliki tiga dokumen (IMM13, Surat Burung-Burung dan Sijil Banci) yang dikeluarkan oleh kerajaan lama.

“Kami hanya mengeluarkan PSS kepada 136,055 orang kepada mereka yang memegang tiga dokumen itu untuk tujuan penyelarasan bagi mengelakkan pengeluaran dokumen palsu supaya ia dapat dikawal. Sekiranya ada tuntutan mengenai pengeluaran PSS kepada dua juta pendatang asing, maka sesiapa pun termasuk pembangkang boleh membangkitkan kebimbangan dan memberi komen mereka mengenai perkara ini.”

– SM

(Visited 143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button