
Ekonomi berkembang 4.4% untuk suku pertama
EKONOMI negara berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama tahun 2025 berbandin 4.9 peratus untuk suku sama tahun lalu.
Ini dorong terutamanya oleh pengembangan permintaan dalam negeri yang stabil. Perbelanjaan isi rumah kekal mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan,
termasuk semakan menaik terhadap gaji minimum dan gaji penjawat awam.
Pengembangan aktiviti pelaburan adalah stabil disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan yang sedia ada. Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh eksport perlombongan yang lebih rendah.
“Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh berikutan aktiviti eksport yang dipercepat (front-loading activities) dan aktiviti pelancongan yang terus meningkat.
“Pada masa yang sama, pertumbuhan import, meskipun lebih sederhana, terus didorong oleh permintaan yang kukuh untuk barangan modal. Hal ini mencerminkan aktiviti pelaburan dan perdagangan yang berterusan,” kata Bank Negara Malaysia dalam kenyataan.
Dari segi penawaran, pertumbuhan didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan. Sektor perkhidmatan disokong oleh perkhidmatan Kerajaan yang lebih tinggi manakala pengeluaran E&E menyokong prestasi sektor
perkilangan.
Walau bagaimanapun, penjualan dan pengeluaran kenderaan bermotor yang kembali menurun selepas prestasi yang kukuh sepanjang tiga tahun yang lalu masing-masing memberikan kesan terhadap pertumbuhan sektor perkhidmatan dan perkilangan.
Secara keseluruhan, pertumbuhan turut terjejas oleh penguncupan dalam sektor perlombongan berikutan pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 0.7% (S4 2024: -0.2%).
Inflasi keseluruhan menurun, manakala inflasi teras meningkat sedikit Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.5% pada suku pertama tahun 2025 (S4 2024: 1.8%).
Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi utiliti yang lebih rendah pada 3.0% (S4 2024: 18.1%). Keadaan ini susulan luputnya kesan daripada pelarasan tarif air terdahulu dan caj elektrik yang lebih tinggi bagi isi rumah dengan penggunaan yang tinggi pada S1 2024.
Inflasi dalam perkhidmatan komunikasi mudah alih terus menurun, berpurata pada -13.5% (S4 2024: -10%). Walau bagaimanapun, inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.9% (S4 2024: 1.7%).
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh inflasi sewa yang meningkat kepada 2.1% (S4 2024: 1.7%). Rebakan inflasi, yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, mengalami kenaikan berikutan pelarasan harga yang lazimnya dilakukan pada awal tahun (seasonal menu price adjustments). Namun begitu, kenaikan ini kekal jauh di bawah purata jangka panjang untuk suku pertama (43.3%; S42024: 39.8%; S1 2011-2019: 52.2%).
Ringgit kekal stabil secara keseluruhan berbanding mata wang rakan dagangan utama pada suku pertama tahun 2025 Pada suku pertama tahun 2025, ringgit kekal stabil secara keseluruhan.
Kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER) berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia meningkat sedikit sebanyak 0.01%. Ringgit juga menambah nilai sebanyak 0.8% berbanding dolar AS.
Pergerakan ini didorong terutamanya oleh dolar AS yang melemah kerana ketidakpastian berhubung dengan dasar perdagangan AS semakin meningkat.
Hal ini menyebabkan peningkatan jangkaan terhadap pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan. – SM