NasionalNegeri

“Singa” pejuang Ahli Sunnah Wal Jamaah Perlis, Ustaz Ahmad Libya meninggal dunia

Tokoh ulama yang juga bekas Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Datuk Ahmad Jusoh atau lebih dikenali sebagai “Ustaz Ahmad Libya”, 81, telah kembali ke rahmatullah hari ini pada pagi 6 Syawal.

Anak Kampung Masjid, Padang Pauh, Perlis ini meninggalkan empat anak telah kematian isteri pada tahun 2015.

Jenazah disembahyangkan selepas Solat Asar di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar sebelum dibawa ke Makam Diraja (Lama) Arau untuk dikebumikan.

Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr Hazman Hassan berkata, Allahyaram disifatkan sebagai “Panglima” dan “Singa” pejuang dakwah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Perlis.

“Sejak zaman pemerintahan Almarhum DYMM Tuanku Syed Putra Jamalullail lagi, Ustaz Ahmad Libya diperkenankan menjadi Ahli MAIPs dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis,” katanya dalam status akaun FBnya.

“Marilah kita doakan Allahyarham supaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memaafkan keterlanjurannya dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW,” tulisnya.

 

Sementara itu dalam status FB MAIPs pula menyebut, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Melayu, Santan dan Sekolah Menengah Al-Alawiyah Al-Diniyah, Arau.

Allahyarham adalah lulusan Sarjana Muda Kulliyah Usuludin, Thakasus Tafsir dan Hadis Universiti Al-Azhar, Mesir dari tahun 1968 hingga 1971.

Juga mendapat Diploma Pendidikan Agama dan Bahasa Arab dari universiti yang sama.

Selain itu, Allahyarham juga lulusan Sarjana Dakwah di Ma’ahad Al-Aaly Li-Dakwah, Tripoli, Libya dan Sarjana Pengajian Agama-Agama di Universiti Temple, Philadelphia, Amerika Syarikat.

Sekembalinya ke Malaysia, Allahyarham bertugas sebagai pendakwah Libya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibawah biaya Libya dari tahun 1974 hingga 1978.

Selepas itu beliau kembali ke Perlis sebagai pensyarah Tamaddun Islam di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau selama 20 tahun dan pernah menjadi Pemangku Rektor Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs).

Allahyarham juga bekas Yang DiPertua Al-Islah Negeri Perlis, Hakim Mahkamah Rayuan di Mahkamah Syariah Perlis.

Malah Allahyarham juga seorang pengarang yang prolifik apabila menulis buku agama dan juga risalah untuk Persatuan Al-Islah Perlis. – SM

(Visited 941 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button