NasionalNegeri

Tunggu status pembinaan Jeti Kuala Perlis

MULAI tahun depan, kajian akan dijalankan berhubung status pembinaan terminal jeti baharu di Kuala Perlis, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, hari ini.

Beliau berkata, sebarang keputusan yang akan diambil, adalah bergantung sepenuhnya kepada hasil kajian yang akan dilakukan nanti.

Katanya lagi, sekarang ini masih belum diberi sebarang keputusan.

Azlan berkata, setelah kajian lengkap dilakukan baharulah dapat dipastikan sama ada terminal jeti sekarang akan dibuat penambahbaikan ataupun akan dibina jeti baharu di lokasi lain.

Azlan berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pelancaran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi kajian berikutan masalah air cetek di terminal jeti Kuala Perlis.

AZLAN MAN

Sementara itu ketika menjawap soalan Nor Azam Karap (Pakatan Harapan (PH)-Kuala Perlis) pada Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Ke-5, Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-14 pada 30 dan 31 Mac Azlan berkata, pengerukan kecemasan atau darurat telah dilakukan di kawasan sekitar Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis pada 6 Februari 2022 hingga 15 Februari 2022 lalu.

Beliau berkata, kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia iaitu Syarikat See Song & Sons Sdn Bhd dengan nilai anggaran kerja pengerukan adalah sebanyak RM1.2 juta.

Tambah Azlan, pengerukan dilakukan oleh “grab dredger” dan hasil kerukan dibuang ke kawasan pembuangan yang telah diwartakan iaitu sejauh 15 batu nautika dari daratan.

“Ia  bagi memastikan mendapan selut ini tidak memberikan kesan yang buruk terhadap alam sekitar,” jelas beliau.

Katanya lagi, pengerukan kecemasan atau darurat ini dilakukan sepanjang Labuhan 2 hingga Labuhan 4 Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis sehingga kedalaman 0.8 meter bagi membolehkan 1 feri merapat di Labuhan tersebut semasa air pasang di aras 1.5 meter. – SM

(Visited 307 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button