Hiburan

Eddie Hamid angkat Bendera Putih jadi lagu

BARU-Baru ini kempen bendera putih sebagai tanda kepada memerlukan bantuan antara yang mendapat perhatian luar biasa masyarakat.

Perkara itu juga nampaknya memberi idea kepada komposer, Eddie Hamid untuk mencipta sebuah lagu berjudul Bendera Putih.

Menariknya, lirik lagu itu ditulis oleh Tuan Goh Lee Shen yang merupakan seorang bekas anggota polis.

Menurut Eddie, idea untuk menghasilkan lagu tersebut timbul kerana beliau melihat ramai rakyat yang terkesan termasuklah dalam kalangan rakan-rakannya.

“Dalam grup WhatApps saya ada yang mengadu nak makan susah, ada yang hilang pekerjaan dan sebagainya. Lepas tu ada pula kempen kibar Bendera Putih untuk membantu orang, ada juga yang tak suka dengan kempen tersebut tapi sebenarnya kempen itu membantu.

“Bila fikir semua persoalan itu, saya buat keputusan nak hasilkan lagu tentang masalah yang kita hadapi sekarang. Saya berjumpa dengan Tuan Goh untuk tanya pendapat kerana beliau lebih arif tentang masalah yang berlaku dalam masyarakat sekarang sebab tugasnya.

“Saya kenal Tuan Goh ni lama dah. Saya beritahu dia yang saya nak buat lagu pasal situasi sekarang dan tanya, boleh tak Tuan buat lirik? Dia kata boleh, dalam seminggu juga dia mencari bahan-bahan,” cerita Eddie tentang pembabitan Tuan Goh dalam pembikinan lagu Bendera Putih.

Eddie Hamid bersama penulis lirik, Goh Lee Shen.

Tambah Eddie, selepas lirik siap dan rakaman dibuat, demo lagu itu turut diperdengarkan kepada beberapa pegawai atasan pihak berkuasa.

Jelasnya, objektif utama adalah untuk mendapat pandangan pihak berkuasa kerana dalam lirik Bendera Putih, ada beberapa bait yang pada fikirannya sensitif.

Bagaimanapun, beliau mendapat maklum balas bahawa lirik Bendera Putih tidak menyentuh mana-mana pihak, sebaliknya bercerita tentang situasi semasa.

“Selain demo diberikan kepada pihak berkuasa, saya ada juga beri demo kepada kawan saya yang merupakan orang kanan seorang ahli politik dan alhamdulillah, yang mendengar demo suka lagu itu.

“Itulah, bila demo diberi kepada pelbagai pihak, ada pula yang mengambil kesempatan memuat naik lagu tersebut di media sosial sebelum saya secara rasmi memuat naik dalam saluran YouTube miliki saya pukul 2 petang, 10 Julai lalu.

“Saya tak adalah nak marah mereka yang memuat naik lagu tersebut secara ‘haram’ tapi selepas video muzik rasmi diperkenalkan, yang ‘haram’ dah kena banned,” katanya tentang video muzik yang tular itu.

Tatkala ditanya tentang pemilihan penyanyi untuk lagu tersebut, kata Eddie, beliau menawarkan lagu tersebut kepada tiga orang penyanyi  di Kota Bahru, Kelantan untuk menyanyikan Bendera Putih secara berduet iaitu Roy Kapilla, Aris Kapilla dan Man Khan. Sayangnya hanya Roy Kapilla saja yang ada kelapangan.

“Walaupun tak dapat ketiga-tiga, saya tak kisah kerana bagi saya Roy ada keistimewaannya kerana bila menyanyi suaranya kedengaran sedikit sedih, tak adalah orang kata itu lagu korporat.

“Rakaman vokal di Kota Bahru, saya bagi demo kat Roy dan bila dia bagi balik, saya terpaksa reject. Bukan dia nyanyi tak sedap tapi cara nyanyian Roy tu macam dia nyanyi lagu Dikir Rambong.

“Saya kata kat Roy, ni lagu Malaysia, bukan lagu Siam dan yang terkesan adalah orang Malaysia. Kita bukan nak tarik perhatian Thailand. Esok buat rakaman semula, kita guna zoom, itu yang terbaik dapat saya buat,” cerita Eddie.

Asalnya lagu berentak balada itu adalah lagu baharu yang bakal dinyanyikan oleh Eddie, namun disebabkan pandemik Covid-19, beliau tidak boleh memasuki studio untuk rakaman.

Oleh kerana tidak mahu menyimpan lagu tersebut terlalu lama, Eddie terpanggil untuk menjadikan melodi lagu berkenaan untuk Bendera Putih.

Jelas Eddie, lagu tersebut tidak sindir sesiapa, cuma menggambarkan rintihan hati rakyat jelata yang terkesan dengan pandemik agar masalah mereka itu sampai kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Masa mula-mula saya hubungi Roy nak bincang pasal rakaman lagu ini, dia ingat saya telefon tu nak bagi bantuan. Saya kata tak, sebab saya di Kuala Lumpur. Dia pun bercerita tentang masalahnya dan mengaku malu untuk mengibar bendera putih.

“Saya kata kat dia, apa nak malu kerana semua orang terkesan tak kira artis atau orang biasa. Mungkin disebabkan beliau turut terkesan, maka nyanyian Roy sampai ke hati pendengar,” katanya.

Memandangkan lirik lagu ini menggambarkan rintihan hati rakyat jelata, sejak dimuat naik menerusi saluran YouTube Eddie Hamid Channel, jumlah tontonan telah mencapai 5.5K.

Terdapat juga yang menggunakan lagu tersebut dengan memaparkan wajah-wajah pemimpin tanah air menerusi kapsyen Satu Malaysia Menangis Mendengar Lagu Untuk Agong ini. Luahan Hati Seorang Ibu dan Bapa.

Sejak dimuat naik menerusi akaun Nazilin Unity, lagu dendangan Roy Kapilla itu telah ditonton sehingga 138K dalam tempoh tujuh jam selepas dimuat naik.

Selaku pencipta lagu, Eddie harap lagu Bendera Putih dapat diputarkan di corong radio dan televisyen sebagai menyatakan luahan hati rakyat.

Dek sambutan hangat terhadap lagu ini, Eddie bercadang untuk menghasilkan lagu Bendera Putih dalam versi Mandarin dan Tamil, bersesuaian dengan negara yang didiami oleh masyarakat majmuk.

“Kita dah bincang dengan beberapa pihak, bulan depan kita akan keluarkan Bendera Putih versi Cina pula. Ada seorang bangsa Cina ni hantar lagu dendangan Bendera Putih dia kat saya, memang pelat la.

“Untuk projek versi Cina dan Tamil, saya akan cari penyanyi dari Kelantan kerana di Kuala Lumpur belum boleh beroperasi di studio. Kita juga rancang nak gabungkan tiga penyanyi berkenaan dalam satu lagu nanti,” jelas Eddie tentang perancangannya untuk lagu Bendera Putih. -SM

(Visited 596 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button