Nasional

Edar komik: Cubaan tanam doktrin di sekolah

KUALA LUMPUR – Penyebaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ di sekolah yang dikesan baru-baru ini merupakan satu tindakan mahu menanam doktrin yang mampu menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Sehubungan itu Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta siasatan segera berhubung perkara itu perlu dilakukan bagi mengelakkan ia terus menjadi polemik.

Bercakap kepada Sinar Harian, Presiden NUTP Aminuddin Awang menyelar tindakan pihak-pihak yang sengaja cuba menyebar komik tersebut yang anggap sebarang cubaan menggugat keharmonian dan mengubah sejarah sebagai pengkhianatan kepada negara.

“Pihak NUTP juga amat yakin bahawa cubaan pengedaran komik tersebut ke sekolah-sekolah adalah di luar pengetahuan pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia).

“Bagaimanapun, kita berharap agar siasatan segera dilakukan bagi mengelakkan perkara ini menjadi polemik yang akhirnya mampu menggugat keharmonian rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Aminudin berkata demikian sebagai mengulas isu pengedaran komik itu di beberapa sekolah di Pulau Pinang yang didakwa berunsur provokatif.

Katanya, walaupun kerjasama pihak sekolah dengan agensi-agensi luar khusus dalam menerima sumbangan adalah penting dalam memajukan sekolah namun pengetua dan guru besar sekolah juga perlu peka dengan peraturan sedia ada pihak KPM dan kerajaan.

Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling.

Komik itu diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Cina dan Bahasa Inggeris.

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button