Ekonomi

Ecoscience International bakal diseneraikan di Bursa Malaysia

Penyedia perkhidmatan pengilangan minyak sawit bersepadu, Ecoscience International Bhd hari ini memeterai perjanjian taja jamin dengan Hong Leong Investment Bank Bhd (Hong Leong IB) bersempena dengan cadangan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Pengarah Urusan Ecoscience, Wong Choi Ong, berkata pemeteraian perjanjian dengan Hong Leong IB adalah langkah penting syarikat itu untuk menjadi entiti yang tersenarai.

“Selain daripada kedudukan yang mantap dan pendedahan jenama yang dipertingkatkan, cadangan pelaksanaan IPO itu dijangka akan membawa kumpulan itu ke dalam fasa pengembangan perniagaan yang menarik.

“Kami berhasrat untuk mengukuhkan operasi kami di Indonesia yang menjadi salah satu daripada tiga pasaran geografi utama kami bersama Gabon dan Malaysia.

“Indonesia kami percaya terdapat banyak peluang pertumbuhan yang boleh diteroka di Indonesia berikutan negara itu sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, syarikat itu juga mengembangkan perniagaan kecekapan alam sekitar dan tenaga yang membabitkan pemajakan peralatan rawatan air bukan kimia untuk digunakan dalam minyak sawit dan industri lain.

“Kami melihat ini sebagai nilai tambah yang bagus kepada tawaran perkhidmatan syarikat yang sedia ada,” katanya.

Ecoscience ialah penyedia penyelesaian sehenti dan kontraktor utama siap guna untuk pembinaan loji dan kemudahan untuk kilang kelapa sawit dan ladang dengan keupayaan fabrikasi dalaman peralatan pengilangan minyak sawit.

IPO Ecoscience sebanyak 112.17 juta saham biasa, mewakili 33 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan semasa penyenaraian, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 82.17 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 30 juta saham sedia ada.

Ia berkata, Hong Leong IB akan menaja jamin 23.8 juta saham yang terdiri daripada 17 juta saham yang disediakan kepada orang ramai melalui pengundian dan 6.8 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Ecoscience dan anak syarikatnya.

Sementara itu, Ecoscience berkata, 45.87 juta saham adalah untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan baki 42.5 juta saham adalah untuk pelabur Bumiputera yang dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, Ecoscience dijadualkan akan disenaraikan pada suku ketiga 2022.

Hong Leong IB ialah penasihat utama, penaja jamin, pengunderait dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO Ecoscience.

(Visited 525 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button