Bola SepakSukan

JDT kembali beraksi dalam ACL Oktober ini

JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan  meneruskan aksi dalam  Kumpulan G , di kejohanan bola sepak Liga Juara-juara Asia (ACL), Oktober nanti.

Berdasarkan kalendar perlawanan terkini yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam laman sesawangnya,  www.the-afc.com, hari ini, skuad Harimau Selatan akan menentang juara dua kali ACL,  Guangzhou Evergrande dari China pada 17 Okt depan, sebelum berhadapan wakil Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings, enam hari kemudian.

JDT, kemudian akan menentang kelab Jepun, Vissel Kobe pada 29 Okt, sebelum melengkapkan perlawanan pusingan awal berhadapan Guangzhou Evergrande pada 1 Nov nanti.

AFC berkata semua perlawanan akan berlangsung di venue terpusat yang akan diumumkan kemudian.

Pada masa ini, JDT berada di tangga kedua Kumpulan G dengan mengutip tiga mata selepas dua perlawanan, dan ketinggalan tiga mata di belakang Vissel Kobe yang mengekalkan rekod tanpa kalahnya.

Pertandingan kelab bola sepak peringkat teratas Asia dan juga peringkat kedua Piala AFC ditangguhkan  AFC sejak Mac lepas berikutan pandemik COVID-19.

AFC juga mengesahkan tarikh untuk lima lagi pertandingan selepas mengadakan perbincangan berterusan dengan ahli gabungannya.

Kejohanan Bola Sepak AFC B-19 di Uzbekistan akan berlangsung dari 14 hingga 31 Okt, Kejohanan Futsal AFC di Turkmenistan (4 hingga 15 Nov) Kejohanan AFC B-16 di Bahrain (25 Nov hingga 12 Dis) sementara  Kejohanan Kelab Futsal AFC 2020 di Emiriah Arab Bersatu dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 13 Dis.

‘Sepanjang perbincangan yang bermula di Kuala Lumpur, Doha, Dubai dan Delhi dalam Februari dan Mac, dan bersambung secara dalam talian sejak itu, kami bersetuju dengan kalendar perlawanan yang akan membolehkan kami melengkapkan kedua-duanya, kejohanan kelab dan kejohanan terpusat dalam 2020,” menurut Setiausaha Agung AFC  Datuk Windsor John.

Sebelum ini, AFC telah menjadualkan semula perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dari Mac, Jun dan September kepada Oktober dan November tahun ini kerana pandemik COVID-19. –BERNAMA

(Visited 420 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button