Rencah Hidup

Ebit sewa pesawat hantar bantuan Covid ke Sabah

DI mana ada kemahuan di situ ada jalan. Biarpun jauh namun pendakwa bebas Ebit Lew tetap mencari cara untuk membantu petugas kesihatan yang sedang bertungkus lumus mengawal penularan wabak Covid-19.

Hari ini beliau menyewa sebuah pesawat untuk membawa barang-barang yang diperlukan oleh petugas kesihatan dan barisan hadapan di negeri tersebut yang kini menyaksikan pertambahan bilangan kes jangkitan Covid-19 setiap hari.

Antara yang disumbangkan oleh ahli perniagaan itu termasuk kelengkapan perlindungan diri (PPE), pelindung dan pelitup muka.

“Doakan yer. Risau teramat sangat baca tentang saudara kita di sabah. Ramai mesej saya minta bantuan. Terus pagi ini hantar barang medikal ke Sabah.

“Saya sumbangkan barang medikal set PPE dengan spec, face shield, mask, shoe cover untuk keperluan kakitangan hospital, klinik dan frontliner di Sabah. Saya guna perkhidmatan Raya Airways kargo.

“Doakan ya insya-Allah semoga Allah selamatkan Sabah. Sayang orang Sabah sangat,” kata Ebit Lew.

Kira-kira 10 hari lalu Ebit menghantar dua lori tangki membawa air bagi membantu penduduk di kawasan pinggiran Batu Caves, Gombak yang terjejas dengan masalah air. Dia juga dilaporkan menghantar bantuan kemanusiaan ke penjara di Kedah yang berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Sabah kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dengan beberapa kawasan telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Negeri itu mencatatkan bilangan kes jangkitan Covid-19 tertinggi di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, seramai 767 petugas perubatan dan kesihatan awam Kementerian Kesihatan (KKM) sudah dikerahkan ke lima daerah di Sabah bagi membantu menangani lonjakan kes COVID-19 di negeri itu.

“Semua petugas barisan hadapan itu digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu sejak awal peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

Sabah mencatatkan sebanyak 352 kes baharu Covid-19 semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meningkatkan kapasiti katil di hospital merawat Covid-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Sabah. Sembilan hospital merawat Covid-19 dan 21 PKRC di negeri itu.

“Bagi menampung peningkatan jumlah kes di Sabah, jumlah katil hospital Covid-19 dan PKRC ditingkatkan 2.5 kali ganda, iaitu daripada 2,129 katil pada awal September lalu kepada 5,414 katil.

“Pada masa sama, penyediaan Hospital Medan (hospital sementara) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau yang akan menempatkan 100 katil bagi kegunaan pesakit bukan Covid-19 membolehkan lebih banyak katil di Hospital Tawau boleh digunakan untuk pesakit Covid-19,” kata Dr. Noor Hisham.-SM

 

(Visited 295 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button