Hiburan

Duo Billy Zulkarnain hanya direhatkan, belum berpecah

PERNAH popular dengan lagu Hati Tersakiti menerusi gandingan duo, Billy Zulkarnain, Billy kini tampil dengan lagu terbaharu tanpa kelibat pasangannya.

Kemunculan semula Billy tanpa Zulkarnain itu dilihat meninggalkan teka teki sama ada duo itu sudah berpecah dan membawa haluan masing-masing dalam dunia seni.

Menjelaskan perkara itu, Billy berkata, duo Billy Zulkarnain tidak pernah berpecah dan hanya direhatkan seketika.

“Saya dan Zulkarnain tidak mempunyai sebarang masalah dan hubungan kami masih baik dan saya sendiri yang pilih untuk bergerak solo.

“Lagipun Zulkaranain sendiri juga sudah memberi restu untuk saya bergerak solo. Jadi memang tidak ada masalah buat kami berdua,” katanya.

Billy berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Cinta di Atsky@Cascade, Kota Damansara semalam.

Bermula sebagai anggota Phyne Ballerz, sebelum menjadi duo dan kini solo, Billy mengakui dia tidak berasa janggal untuk meneruskan kerjaya seninya.

“Bagi saya, dalam dunia seni ini ada turun naik dan nasib. Mungkin nasib tidak menyebelahi Billy Zulkarnain sebelum ini dan kita kena akur.

“Lagipun saya mempunyai kerja tetap yang perlu diberi keutamaan dan kalau dalam kumpulan atau duo, komitmen daripada segi masa adalah sangat perlu.

“Itu yang saya rasa lebih selesa untuk bergerak solo buat masa ini,” katanya yang kini bekerja sebagai pengurus kanan di sebuah syarikat minyak dan gas.

Bercerita mengenai lagu pula terbaharunya, jelas Billy, lagi itu diciptanya sendiri ketika bekerja di rumah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Jelasnya, ilham untuk mencipta lagu itu datang secara tiba-tiba dan turut dibantu oleh sekumpulan pemuzik profesional yang mengindahkan lagi lagu tersebut.

“Pada awal buat lagu ini, memang tidak ada kisah apa-apa pun. Saya cuma luahkan ilham saya sahaja.

“Tetapi bila dah lama dengar lagu ini, saya tiba-tiba terkenang pengorbanan ayah saya yang meninggal dunia pada 2012.

“Keluarga saya cuma sederhana dan waktu kecil, saya teringin raket tenis dan arwah ayah berusaha keras untuk mendapatkan saya raket tersebut.

“Itu yang saya terkenang hingga kini betapa cintanya seorang bapa kepada anak hingga sanggup berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu yang bermakna buat insan tersayang,” ujarnya.

Muzik video Billy kini sudah mula disiarkan pada 3 September lalgu menerusi saluran YouTube Indigital Music. -SM

(Visited 599 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button