Politik

DUN Perlis lulus enakmen halang ADUN lompat parti

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Perlis hari ini menyaksikan 13 ahlinya sebulat suara menyokong penuh pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis (Pindaan) 2022.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pindaan ini dibuat selaras dengan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbuat demikian.

Beliau berkata, hanya dua sahaja Ahli Dewan Undangan (ADUN) tidak hadir kerana urusan tertentu dan atas kebenaran Speaker, Datuk Hamdan Bahari.

ADUN-ADUN mengangkat tangan sebagai tanda menyokong usul.

Azlan berkata demikian pada sidang media selepas Sidang DUN Khas Sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Kelima, DUN Perlis Yang Ke-14 di Kompleks DUN di Kangar, Perlis.

Sehubungan itu Azlan berkata, dengan sokongan ini bermakna akan dilakukan proses seterusnya supaya undang-undang ini dikuatkuasakan.

Bagaimanapun kata Azlan, beliau terlebih dahulu akan meminta perkenan daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Selepas perkenan Raja Perlis baharulah ia akan diwartakan untuk dikuatkuasakan,” katanya.

Berikutan itu katanya lagi, calon yang bakal memenangi kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti akan tertakluk dengan undang-undang ini. – SM

(Visited 334 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button