Politik

DUN bubar, PRN di Melaka

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam memutuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri.

Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan keputusan itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr) Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Oktober 2021 (Isnin).

“Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas akan diwartakan pada hari ini 5 Oktober 2021, Selasa,” katanya.

Keputusan Mohd. Ali itu dibuat berikutan surat yang dihantar oleh Ketua Menteri Melaka memaklumkan telah hilang majoriti dan meminta Mohd. Ali membubarkan DUN.

“Adalah dimaklumkan bahawa, semalam pada tarikh 4 Oktober 2021 (Isnin), satu sidang media telah diadakan oleh empat orang Ahli Yang Berhormat iaitu YB Sungai Udang, YB Pengkalan Batu, YB Telok Mas dan YB Pantai Kundor yang menarik sokongan terhadap Kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Utama Dr. Hj. Sulaiman
bin Md Ali.

“Susulan daripada sidang media tersebut, YAB Ketua Menteri Melaka telah mengutus surat kepada Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk memaklumkan bahawa 4 orang Ahli Yang Berhormat tersebut telah hilang kepercayaan kepada YAB Ketua Menteri seterusnya pada masa yang sama meminta perkenan TYT
Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas,” katanya. -SM

(Visited 301 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button