Nasional

DUN Mata Ayer ketengahkan 3 produk

Kuih karas antara yang diketengahkan

KUIH tradisional, batik dan gua Bukit Ngulang bakal diketengahkan sebagai produk Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer tidak lama lagi.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer yang juga Exco Kerajaan Negeri Perlis, Siti Berenee Yahaya berkata, beliau akan mengemukakan cadangan ini pada Mesyuarat Exco akan datang.

SITI BERENEE YAHAYA

Beliau berkata, perkara ini bakal diputuskan selewat-lewatnya Februari depan.

“Saya berharap kerajaan negeri memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap produk DUN Mata Ayer,” katanya kepada media selepas majlis Sembang Santai di Sungai Padang, Simpang Empat, Arau, petang semalam.

Siti Berenee berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man pada pelancaran Persiaran Makanan Bintong baru-baru ini supaya setiap DUN mempunyai Satu Produk.

Siti Berenee berkata, setakat ini kuih tradisional yang bakal diketengahkan adalah kuih karas, kuih bangkit dan putu kacang termasuk ringgi makanan tradisional yang dihasilkan dari padi pulut.

Katanya lagi, setakat ini kuih karas dari DUN Mata Ayer memang mendapat pasaran menggalakkan.

Beliau berkata, kuih tradisional ini nanti akan diletakkan di sebuah pusat pengumpulan khas dan juga bengkel untuk menunjukkan cara pembuatan kuih karas yang sememangnya rumit untuk dihasilkan.

Selain itu katanya, produk batik pula memang telah lama beroperasi di kawasan ini.

“Inilah satu-satunya perusahaan batik yang masih aktif dan diusahakan oleh anak tempatan,” ujar beliau.

Tambahnya, satu lagi produk pelancongan iaitu, gua Bukit Ngulang pula telah mendapat pengiktirafan kerajaan negeri untuk dimajukan kawasan sekitarnya.

“Setakat ini ia memang mendapat limpahan pelancong dari dalam dan luar Perlis,” katanya.

Beliau berkata, pemilik homestay berdekatan gua batu kapur ini boleh melakukan promosi untuk membawa penginap meneroka Bukit Ngulang. – SM

 

(Visited 325 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button