MahkamahNasional

Buruh binaan dipenjara ugut bunuh, bogel depan rumah jiran

MAHKAMAH Majistret Selangor hari ini menjatuhi hukuman penjara tiga bulan ke atas seorang buruh binaan selepas mengaku bersalah mengugut untuk membunuh dan berbogel di hadapan rumah seorang wanita yang juga jirannya November lalu.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu ke atas A Anbalagan, 38, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Dia turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan mengugut manakala penjara dua bulan bagi pertuduhan berbogel dan kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 November tahun lepas.

Anbalagan didakwa mengugut untuk membunuh wanita berumur 36 tahun itu dengan niat mendatangkan kecederaan di hadapan rumah mangsa di Batu Arang, Gombak, Selangor pada pukul 8.40 malam 2 November lalu.

BERNAMA melaporkan, pertuduhan adalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Anbalagan juga didakwa melakukan perbuatan lucah dengan berbogel di tempat awam di lokasi sama pada pukul 7 pagi 3 November lalu.

Untuk kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Peguam M Mariappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan ketika kejadian anak guamnya mabuk dan tidak ingat apa yang berlaku serta memohon maaf atas kesilapan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan mangsa adalah jirannya. – SM

 

(Visited 403 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button