
Dulu Tapak Pelupusan, Kini Ladang Baja Kompos! Ini Hasil Teknologi Landfill Mining
TAPAK pelupusan sisa pepejal Beris Lalang kini melangkah ke era pengurusan lestari apabila Projek Landfill Mining di kawasan tersebut mula beroperasi sepenuhnya sejak Januari lalu.
Menurut Pengarah Urusan Dwitekno Sdn. Bhd., Mohd Fadzil Zamrod, projek ini merupakan langkah proaktif dalam menangani isu pengurusan sisa pepejal, khususnya bagi tapak pelupusan lama yang telah mencapai kapasiti maksimum.
“Fokus kami adalah pada pemulihan empat komponen utama iaitu bahan organik untuk dijadikan kompos, plastik pakai buang lembut yang sukar diproses, plastik keras bernilai, serta logam yang boleh dikitar dan dijual semula.
Hasil utama projek ini adalah kompos organik yang diproses daripada sisa lama melalui teknologi bio-pengeringan (bio-drying),” katanya ketika ditemui sempena Majlis Perasmian Projek Landfill Mining di tapak pelupusan berkenaan.
Tambah beliau, pihaknya menyasarkan peningkatan kapasiti pemprosesan sisa daripada 50 tan kepada 500 tan sehari dalam tempoh empat tahun akan datang. Daripada jumlah itu, 30 peratus sisa akan dijadikan baja organik manakala 20 peratus lagi terdiri daripada plastik, logam dan bahan lain untuk dikitar semula.
Dua teknologi utama digunakan dalam pelaksanaan projek ini:
- Refuse Derived Fuel (RDF) – menghasilkan bahan api alternatif daripada sisa buangan untuk kegunaan industri.
- Sistem pirolisis – menukarkan plastik yang sukar dikitar semula kepada diesel industri.
“Ketinggian sisa pepejal di tapak ini pernah mencecah sehingga 30 meter dan dijangka mengambil masa kira-kira 15 tahun untuk diproses sepenuhnya,” jelas Mohd Fadzil.
Projek ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Pengurusan Sisa Pepejal Mubarakan Sdn. Bhd. (PSPM) dan Dwitekno Sdn. Bhd., serta menjadi model awal bagi pendekatan baharu pengurusan sisa pepejal secara mampan.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah menyeru agar projek seumpama ini diperluas ke kawasan lain.
“Kita mencadangkan agar Dwitekno memperluaskan projek ini ke tapak pelupusan di Kok Bedollah, Tumpat. Di sana terdapat kawasan seluas lebih 90 ekar yang berpotensi untuk dimanfaatkan menerusi kaedah landfill mining,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.