Nasional

Malaysia kutuk keras serangan udara Israel ke wilayah Palestin

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Jenin iaitu Wilayah Palestin yang diduduki oleh rejim itu (OPT) di Tebing Barat.

Wisma Putra dalam kenyataan malam Selasa memaklumkan bahawa Malaysia menggesa Israel agar segera menghentikan pertumpahan darah itu dan membenarkan penduduk Jenin mendapat akses kepada bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan kesihatan.

“Malaysia juga sekali lagi menggesa Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan anggota komuniti antarabangsa agar mendesak rejim Israel menghentikan jenayah kejinya terhadapkemanusiaan serta dasar aparteid ke atas penduduk Palestin demi keamanan dan kestabilan sejagat.

“Malaysia terus kekal dengan pendirian bahawa penduduk Palestin berhak mendapat kemerdekaan dan sebuah negara yang berdaulat berdasarkan perjanjian sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu, peningkatan keganasan telah memburukkan lagi keadaan di Jenin dan banyak nyawa yang terkorban disebabkan oleh tindakan agresif Israel.

“Provokasi, tindakan agresif dan kekejaman berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel adalah pelanggaran secara terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta kemanusiaan,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan pada Isnin bahawa Israel telah melancarkan operasi ketenteraan terbesarnya di Jenin dalam tempoh lebih 20 tahun dan membunuh sekurang-kurangnya 10 penduduk Palestin serta mencederakan lebih 100 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. – Bernama

(Visited 152 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button