Ekonomi

Pakej Rangsangan Ekonomi selamatkan 2.75 juta pekerjaan

LEBIH 2.75 juta pekerjaan dan 800,000 perniagaan termasuk perniagaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat hasil pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan.

Agihan yang dibuat menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Tambahan dan  Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion bertujuan menangani impak COVID-19 memastikan rakyat dapat meneruskan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

“Lebih 2.75 juta pekerjaan telah berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja.

“Selain itu, lebih 800,000 perniagaan, termasuk perniagaan mikro dan PKS, telah menerima manfaat daripada pakej-pakej rangsangan ini,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan hari ini.

Sehingga hari ini katanya, sejumlah RM11.14 bilion telah disalurkan kepada 10.4 juta penerima Bantuan Prihatin Nasional.

Katanya, sebanyak 1.4 juta pemandu e-hailing telah menerima elaun tunai RM500 dengan jumlah keseluruhan RM34 juta.

Seramai 477 ribu pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pula telah menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM28.8 juta, jelas Perdana Menteri.

Beliau berkata sebanyak 7.7 juta pengguna menerima diskaun 50 peratus bayaran bil elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan nilai keseluruhan RM312.32 juta dan 1.4 juta pengguna menerima diskaun 15 peratus dengan nilai keseluruhan RM185.75 juta.

“Sebanyak 65 peratus isi rumah telah menerima manfaat morotarium bayaran balik pinjaman bank dengan nilai keseluruhan RM38.4 bilion.

“Dari segi bantuan untuk para usahawan, seramai 545,000 usahawan mikro telah menerima Geran Khas Prihatin dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion manakala 7,000 orang menerima kemudahan kredit mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan nilai keseluruhan RM247 juta dan lebih 23,000 orang menerima kemudahan kredit mikro TEKUN dengan nilai keseluruhan RM177 juta,” katanya seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA

Beliau berkata kerajaan juga telah menyalurkan subsidi upah bernilai RM7.4 bilion kepada 834,000 majikan dan 6.7 juta pekerja di seluruh negara.

Bagaimanapun, Muhyiddin turut mengingatkan rakyat betapa kesan terhadap ekonomi amat besar sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri berkata penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.

Jelasnya, pakej-pakej PRIHATIN dan PENJANA dianggarkan menyumbang lebih tiga peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini.

“Sekiranya PKP terpaksa dikuatkuasakan semula, antara impaknya termasuklah unjuran pertumbuhan KDNK yang dijangka pada tahun 2021 mungkin tidak akan tercapai.

“Perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3 peratus bagi bulan Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak. Ini adalah suatu keadaan yang mesti kita elakkan,” katanya.

(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button