Nasional

Dulu Flat Lama, Kini Residensi Mewah: Projek Razak Mansion Jadi Penanda Aras

PROJEK pembangunan semula Flat Razak Mansion yang berusia lebih 38 tahun kini diiktiraf sebagai model terbaik pembangunan semula bandar setelah berjaya disiapkan dalam tempoh kurang empat tahun oleh pemaju JL99 Group.

Sebanyak 658 pemilik asal menerima unit gantian yang lebih selesa dan moden, lengkap dengan kemudahan seperti lif, surau, dewan serbaguna, dan tadika Islam. Unit baharu bersaiz 800 kaki persegi menggantikan unit lama seluas 650 kaki persegi, dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air.

Menurut Senior Project Manager 1 JL99 Group, Muhammad Mohammad Hazri Aziz, projek ini bermula pada tahun 2014 dan berjaya disiapkan serta diserahkan pada 2018 setelah 100% persetujuan pemilik asal diperoleh menerusi sesi libat urus langsung yang dijalankan tanpa melibatkan mana-mana ejen pihak ketiga.

“Semua kos perpindahan termasuk yuran guaman, tukar nama dan sumbangan khas sebanyak RM3,000 ditanggung oleh pihak pemaju. Pemilik asal yang dahulu membeli unit pada harga sekitar RM20,000 hingga RM40,000 kini menikmati nilai hartanah semasa mencecah RM300,000,” jelasnya.

5 Flat Lain Dalam Perancangan

Melihat kejayaan projek tersebut, JL99 Group kini sedang dalam fasa awal untuk membangunkan semula lima lagi kawasan flat di sekitar Kuala Lumpur, iaitu:

  1. Flat Taman Desa Bakti (97% persetujuan diperoleh)

  2. Flat Taman Maluri, Cheras (lebih 75%)

  3. Flat Taman Wilayah, Selayang

  4. Flat Taman Sri Lempah, Taman Desa

  5. Flat Taman Sri Endah, Sri Petaling

Kesemua projek ini kini menunggu kelulusan akhir pindaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijangka dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat. JL99 Group menjangkakan projek baharu ini dapat disiapkan dalam tempoh 48 bulan termasuk proses merobohkan bangunan lama dan pembinaan semula.

Komitmen Telus dan Inklusif

Dalam pendekatan uniknya, pihak pemaju diketuai sendiri oleh Datuk Seri Jeff Lee yang turun padang dalam sesi libat urus untuk menerangkan secara telus kepada pemilik tanah dan unit.

“Pendekatan ini memberi keyakinan kepada penduduk kerana mereka dianggap sebagai pemegang taruh utama, dan sebarang tawaran dibuat hanya kepada pemilik sah,” tambah jurucakap itu.

Sementara menunggu unit baharu disiapkan, semua pemilik akan menerima subsidi sewaan daripada pemaju bagi meringankan beban sepanjang proses pembangunan berlangsung.

Projek ini bukan sahaja memberi kehidupan yang lebih berkualiti kepada penduduk, malah menjadi penanda aras baharu dalam pelaksanaan projek pembangunan semula bandar secara menyeluruh dan beretika.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button