Politik

Dulu bersumpah demi rakyat, kena gertak dengan presiden terus letak jawatan

SEMASA angkat sumpah sebagai menteri kabinet telah berjanji akan berkhidmat untuk rakyat, namun hakikatnya apabila digertak oleh presiden parti terus letak jawatan.

Nampak sangat mereka ini hanya mementingkan diri sendiri dan taksub dengan presiden parti sahaja dan bukan memastikan kerajaan hari ini bergerak lancar memerangi wabak dan memulihkan kembali ekonomi negara serta menyantuni kehidupan rakyat.

Peletakan jawatan dua menteri dari UMNO memang jelas mereka membelakang rakyat yang berharap kepada kerajaan ketika ini untuk membela dan menjaga kepentingan mereka dan bukan kepentingan peribadi tertentu.

Zaman taksub kepada individu sepatutnya sudah berakhir, apa ditakut menyanggah pemimpin yang bukan berjuang untuk rakyat, tetapi untuk kepentingan diri sendiri.

Tahukah kita kini universiti menjadi tunggang-langgang kerana menterinya meletakkan jawatan dan memaksa ramai ahli lembaga pengarahnya meletakkan jawatan.

Pada masa ini para pelajar universiti bertungkus-lumus belajar secara dalam talian dan berharap menteri menyusun gerak kerja agar selepas ini mereka dapat kembali ke kampus.

Apa yang berlaku menteri bukan seorang yang bertanggungjawab apabila meninggalkan perjuangan separuh jalan.

Menteri yang meninggal perjuangan separuh jalan ini harus dihukum dan tidak lagi dipilih pada pilihan raya akan datang, kerana mereka bukannya pemimpin yang mewakili rakyat, tetapi mewakili diri sendiri dan kelompok sendiri sahaja.

Ahli UMNO kononnya mempunya 3 juta orang dan mungkin semakin merosot jumlahnya, tetapi mereka menggunakan alasan itu untuk meminggirkan kepentingan 32 juta rakyat negara ini.

Apabila presiden mereka menggertak untuk tidak memberi watikah calon pilihan raya, semua pakat kecut perut dan laju meninggalkan perjuangan rakyat dan kembali kepada perjuangan politik sempit kepartian.

Bagus juga ada kemelut politik, jadi dengan mudah rakyat dapat mengenal pasti siapa pemimpin sebenar atau pemimpin jadi-jadian yang menjadi pak turut sahaja.

Mereka ini lebih takut kuasa yang ada pada tangan presiden bukannya kuasa yang ada pada Allah yang sebelum ini mereka bersumpah.

Syukur kepada Allah, kerana menunjukkan sifat sebenar para pemimpin ini, memang tidak layak diangkat sebagai pemimpin rakyat.

Kita perlu menghormati pendirian para pemimpin yang masih lagi bersama kerajaan demi meneruskan inisiatif bagi melawan pandemik Covid-19, walaupun sedar mereka tidak akan menjadi calon pilihan raya jika diadakan dalam masa terdekat kerana menentang keputusan kepimpinan parti dan presiden yang berselindung di sebalik kepentingan peribadi.

Kini kebangkitan menentang gerakan jajaran baharu yang diatur oleh presiden telah tampil di cawangan dan bahagian.

Moga gerakan ini mendapat restu ahli UMNO dan akhirnya dapat membersihkan parti daripada pemimpin bacul meninggal rakyat ketika situasi getir ini.

Jika gerakan ini tidak dilakukan rakyat akan meninggalkan UMNO buat kali kedua dan kali ini mereka kekal sebagai sebuah parti bacul yang menggali kubur sendiri.

(Visited 499 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button