
Dulang Boys Pasangan Bass Bella Astillah dan Syed Saddiq
PELAKON Hairul Azreen mencuri perhatian ramai apabila memuat naik sekeping gambar bersama beberapa selebriti popular tanah air seperti Sharif Zero, Achey, Tomok, serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan pelakon Bella Astillah.
Menerusi kapsyen bersahaja yang ditulis Hairul, ramai netizen mula membuat pelbagai andaian dan spekulasi.
“Dulang boys YB dan Bella. Penyanyi mestilah Tomok, pengacara Sharif dan Achey. Magic show saya,” tulis Hairul di ruangan kapsyen.
Menambah lagi elemen ‘drama’, Hairul turut menggunakan lagu ikonik Selamat Pengantin Baru nyanyian Anita Sarawak sebagai latar audio dalam hantaran tersebut.
Ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi teruja daripada netizen yang berseloroh menantikan “berita baik” daripada kumpulan yang digelar “BASS” (Bella, Achey, Sharif, Syed Saddiq).
Namun, yang lebih menarik perhatian ramai adalah apabila ibu kepada pelakon sensasi Aliff Aziz, Siti Hafiza Basharahil turut meninggalkan tanda suka (like) pada hantaran tersebut.
Tindakan itu mencetuskan pelbagai spekulasi memandangkan Bella dan Aliff telah bercerai buat kali kedua pada 13 Jun lalu. Pasangan itu memiliki dua cahaya mata, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.