NasionalParlimen

TSMY ajak keluar dari kancah skandal terbesar abad ini

EKONOMI negara mula berkembang hasil daripada usaha yang digerakkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Kelangsungan pertumbuhan ekonomi Malaysia dilihat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan apabila Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), bukan sahaja pendapatan meningkat tetapi juga pengangguran dibendung daripada menjadi bertambah buruk.

Muhyiddin berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini membahas usul menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong bagi mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen Ke-14.

Ahli Parlimen Pagoh ini juga berkata, beberapa indikator daripada data badan penyelidikan seperti Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menunjukkan proses pemulihan ekonomi semakin kukuh.

“Dari aspek pelaburan, Malaysia telah berjaya menarik lebih RM220 bilion pelaburan yang diluluskan pada 2021 untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Tambah beliau, begitu juga indeks pengeluaran serta eksport sektor pembuatan adalah positif sepanjang tahun 2021.

Katanya, nndeks bagi sektor perkhidmatan khususnya jualan borong dan runcit serta  indeks pinjaman bank perdagangan dan perbankan Islam juga adalah positif sepanjang tahun 2021.

“Walaupun demikian, angka-angka ini masih di bawah data masa biasa atau ‘normal years’ dan ini menunjukkan bahawa kita perlu jangka masa dua atau tiga tahun lagi sebelum ekonomi pulih sepenuhnya,” ujar beliau.

Sebagai contoh, kata Muhyiddin, sektor berkaitan pelancongan seperti perhotelan dan pengangkutan masih belum rancak kerana belum dibuka sempadan sepenuhnya untuk kemasukan para pelancong asing.

“Sehubungan itu, MPN telah mencadangkan supaya pembukaan sempadan negara sepenuhnya dilaksanakan mulai awal Mac ini dengan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh KKM supaya industri pelancongan, perdagangan dan sektor ekonomi yang berkaitan dapat dirancakkan kembali,” tegas beliau.

Buat kesekian kalinya, Muhyiddin mengulangi pendiriannya yang lebih berupa cadangan kepada Kerajaan segera buka sempadan.

“Saya tidak nampak alasan kenapa keputusan untuk membuka sempadan ini hendak dilengah-lengahkan lagi sedangkan negara-negara lain yang  program vaksinasinya tidak sehebat negara kita sudah pun berbuat demikian,” katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menepis tuduhan yang mengatakan beliau membazir hanya kerana Kerajaan PN menyediakan pakej-pakej bantuan rakyat.

Pembaziran yang dilemparkan termasuklah rangsangan ekonomi bernilai RM600 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Ini adalah tidak bertanggungjawab. Tuduhan ini amat tidak sensitif terhadap kesusahan yang dihadapi oleh rakyat dan komuniti perniagaan di waktu pandemik.

“Ramai individu yang saya temui mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan PN atas pelbagai bentuk bantuan yang mereka terima.

“Ini termasuk Makcik Kiah, Pak Salleh dan lain-lain peniaga, penjaja kecil dan orang perseorangan biasa yang menerima bantuan kerajaan semasa pandemik,” jelas Muhyiddin.

Beliau berkata, kerajaan dibawah PN memberi pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan tunai bernilai RM17 billion yang disalurkan terus kepada rakyat.

Tambah beliau, program subsidi upah bernilai RM20 billion juga telah banyak membantu pekerja memperolehi gaji dan pemilik perniagaan meneruskan operasi perniagaan semasa pandemik walaupun ekonomi terjejas teruk.

“Pakej-pakej rangsangan ekonomi yang saya umumkan telah menyumbang sebanyak 3.7 hingga 4.0 mata peratusan KDNK pada tahun 2020 dan menjadi antara penyumbang utama pemulihan ekonomi pada masa ini.

“Ini menunjukkan pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang disediakan oleh Kerajaan PN memberi banyak kesan positif kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

“Hakikatnya, dunia semasa dan pasca-pandemik Covid-19 memerlukan negara mengambil langkah luar biasa. Justeru Kerajaan Perikatan Nasional pada ketika itu memastikan perniagaan dapat terus berjalan, gaji dan upah pekerja tidak terhenti dan makanan berada di atas meja untuk keluarga yang terjejas,” katanya. – SM

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button