Hiburan

Duit kemenangan MLM2021 setengah juta dibahagi 3: Banyak perancangan

TAHNIAH Daniel Lawak Solo yang menganggotai kumpulan Tiro atas pentas Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) berjaya dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah setengah juta ringgit (RM500,000).

Selain Daniel (Daniel Zaini), dua lagi anggota Tiro ialah Sharif dan Syaiful.

Mereka berkata, tidak menyangka akan bergelar juara MLM2021 tambahan pula persembahan mereka pada minggu lepas, tidak begitu baik dan hampir tersingkir apabila berada di kedudukan ketiga terendah.

Mengakui banyak kelemahan dalam persembahan minggu lalu, namun rezeki berpihak kepada kumpulan ini malam tadi.

“Perkara itu antara pemangkin semangat buat Tiro kembali bangkit minggu ini,” kata mereka kepada Gempak.


Menjawab soalan wartawan tentang duit kemenangan, kata mereka, masing-masing sudahpun mempunyai perancangan sendiri.

Daniel mahu menunaikan impian ibunya yang mahu mengerjakan haji dan umrah termasuk menghadiahkan sebuah rumah.

“Niat saya kalau menang memang nak bawa pergi haji dan umrah dengan emak. Saya juga nak bina sebuah rumah impian untuk mak di Pulau Pinang,” kata Daniel.

Syaiful pula merancang untuk membeli beberapa buah bot nelayan untuk kegunaan penduduk kampungnya di Kudat, Sabah.

Katanya, kos membeli bot mencecah RM100,000 dan insya-Allah dengan wang kemenangan yang diperolehi nanti, impiannya akan menjadi kenyataan.

“Sekurang-kurangnya para nelayan di kampung kami nanti dapat ke laut dengan lebih selesa dengan adanya bot baharu nanti,” katamnya sambil menambah, beliau sedang merencanakan sesuatu untuk para nelayan menjana pendapatan mereka.

Sharif pula berniat untuk memberi sumbangan kepada beberapa rumah kebajikan dengan wang kemenangan itu nanti.

“Niat saya nak gunakan sebahagian daripada duit itu untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Saya dan Syaiful juga berniat untuk mengerjakan umrah,” ujar beliau.

MLM2021 menggunakan format pemarkahan 70% daripada juri manakala 30% daripada jumlah undian penonton melalui undian secara atas talian (online).

Program pertandingan realiti televisyen itu dihoskan oleh Datuk AC Mizal manakala juri tetap terdiri daripada Datuk Rosyam Nor selaku Ketua Juri, aktres Diana Danielle, Uqasha Senrose dan penyanyi, Noh Hujan. – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button