MahkamahNasional

Duit dalam akaun peribadi Zahid Hamidi cukup, tak perlu guna dana YAB

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, baki wang dalam akaun peribadinya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kreditnya tanpa menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Ahmad Zahid, 69, berkata, disebabkan kecuaian bekas setiausaha eksekutifnya, Mazlina Mazlan @ Ramly, wanita itu telah membayar kad kredit peribadinya dengan menggunakan cek yayasan itu.

“Baki setiap bulan dalam akaun peribadi saya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad-kad kredit peribadi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya Hamidi Mohd Noh dalam prosiding membela diri.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik YAB.


Peguam Hamidi bertanya, mengapa Mazlina menggunakan cek YAB untuk menjelaskan bil kad kredit berkenaan, Ahmad Zahid menjawab, “Mazlina melakukan kecuaian dengan membayar kad kredit menggunakan cek YAB.”

“Mazlina dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini juga mengakui telah melakukan kecuaian bahawa dia tidak tahu, tidak pasti dan tidak ingat berkenaan pengurusan bil-bil kad kredit,” kata Ahmad Zahid.

Terdahulu, Ahmad Zahid dirujuk kepada baki wang dalam akaun Maybank miliknya antara 2014 hingga 2016 yang menunjukkan baki minimum sebanyak RM100,000 dan maksimum RM600,000 manakala bil kad kreditnya, minimum RM600 dan maksimum RM215,000 dalam tempoh sama.

Pada perbicaraan sebelum ini, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa Mazlina yang diamanahkan untuk menjaga akaun peribadinya dan YAB melakukan pelbagai kecuaian.

Antaranya, gagal memahami dan membaca penyata kad kredit milik Ahmad Zahid sehingga menyebabkan pembayaran kad kredit tidak mencukupi dan berlebihan.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, bekas timbalan perdana menteri itu didakwa menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta sebatan dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – SM

(Visited 71 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button