Mahkamahpilihan

Duda didenda RM3,000 tumbuk muka teman wanita

Seorang duda didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini selepas didapati bersalah menumbuk muka dan merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya, Julai tahun lalu.

Selepas menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan Majistret Mazana Sinin memutuskan hukuman tersebut terhadap tertuduh Juan Kee Hean, 36.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Seow Li Cha, 34.

Dia didakwa menumbuk muka dan mata kanan serta siku kiri Li Cha di dalam kereta Honda City di hadapan rumahnya di Jalan Kenangan 1.4, Taman Kenanga, Seksyen 1 pada 1 Julai 2022 kira-kira pukul 10 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau boleh denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua pula tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kerosakan dan kerugian terhadap telefon bimbit jenis Samsung milik wanita itu, pada tarikh, masa dan di tempat sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mazana menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar bagi pertuduhan pertama dan denda RM2,000 atau 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua. – SM

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button