Nasional

Dua warga emas guna barang terpakai hias pondok rai Hari Kebangsaan Ke-65

TIDAK ada siapa suruh, tidak ada siapa sponsor, tetapi semangat membara dua warga emas untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 kali ini sangat menarik perhatian.

Mahsuri Mahmood, 64 yang bergandingan dengan bapa saudaranya Rosli @ Rasli Ludin, 73, di Kampung Wang Besar, Bintong, Perlis wajar menjadi contoh kepada rakyat Malaysia.

Sejak sebulan yang lalu, keduanya telah menggunakan masa terluang untuk menghasilkan bahan terbuang untuk dihias berkonsepkan sambutan Hari Kebangsaan.

Mahsuri dan Rosli berpuas hati setelah berhempas pulas menghias cantik pondok bagi sambutan Hari Kebangsaan Ke-65.

“Guna duit hanya untuk beli bendera yang digantung dan cat untuk melukis,” kata Mahsuri.

Ujar Mahsuri, dia memang berhasrat meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini dengan lebih meriah.

Kebetulan di pekarangan rumahnya sudah ada sebuah pondok kecil yang sesuai dihias bagi meraikan Hari Kebangsaan.

“Cuma ia perlu diisi dengan bahan yang berkaitan dengan kemerdekaan,” katanya mengakui suka melakukan kerja hiasan “out door” sejak bekerja lagi.

Beliau kemudiannya berbincang dengan bapa saudaranya, Rosli yang berkebolehan melukis.

Meja persegi, talam dan botol pewangi pakaian dipenuhi dengan lukisan dan tulisan lagu bertema Hari Kebangsaan.

Jadi hiasan di pondok itu nanti tidak terhad kepada gantungan bendera sebaliknya dengan tambahan barang-barang lain.

Mahsuri juga turut mencari barang antik di sekitar kampungnya seperti gelas kaca bertulis hari merdeka tahun 1957, lampu gasolin, mesin taip serta bekas untuk ukuran beras seperti cupak dan kepoi (tempurung kelapa).

Beliau sendiri menyusun atur pokok bunga kerana kebetulan juga membuka nurseri bagi mengisi masa lapang.

Mahsuri juga menggunakan bendera Malaysia yang digubah menjadi bunga disusun dalam pasu.

Sementara itu, Rosli memberitahu, dia membersihkan dahulu barang terpakai yang diperlukan seperti meja makan kecil jenis bulat serta persegi, cermin almari, kepingan marmar dan juga botol pewangi pakaian.

Selepas itu beliau melukis di atas muka barang terpakai ini dengan lukisan yang berkaitan Hari Kebangsaan.

“Ada yang ditulis dalam bahasa Melayu dan ada juga dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Dalam lukisannya, Rosli juga memasukkan unsur perpaduan kalangan rakyat Malaysia dan tema “Keluarga Malaysia” yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apa yang pasti, kedua pesara kerajaan ini berpuas hati kerana dapat menghasil sesuatu bagi menyambut Hari Kebangsaan Ke-65 kali ini. – SM

(Visited 1,036 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button